Sabtu, 5 September 2015 | 1:50pm

80,654 kes denggi di seluruh negara sehingga Ogos

Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya

KUALA LUMPUR: Sebanyak 80,654 kes demam denggi membabitkan 219 kematian direkodkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Ogos lepas, berbanding hanya 65,672 kes dan 128 kematian untuk tempoh sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata situasi itu amat membimbangkan kerana jumlah kes menunjukkan peningkatan ketara.

"Jumlah kes meningkat 23 peratus manakala angka kematian turut naik lima peratus," katanya ketika melancarkan Program Gotong Royong Perdana Gempur Aedes peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Kem Perdana Sungai Besi, di sini, hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Awam, Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Dr Hilmi berkata kes demam denggi di Kuala Lumpur dan Putrajaya pula mencatatkan 5,203 kes bagi tempoh Januari hingga Ogos berbanding hanya 4,975 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Pada masa sama, katanya, 26 kematian dicatatkan setakat ini, berbanding hanya 14 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Dr Hilmi berkata antara punca peningkatan itu adalah sikap ambil mudah mengenai pengurusan sampah isi rumah sehingga menjadikannya tempat takungan dan pembiakan nyamuk aedes.

"Masyarakat perlu berusaha memastikan persekitaran rumah, tempat kerja, sekolah dan lain-lain kawasan bebas daripada pembiakan nyamuk aedes ini," katanya.

Sementara itu, seramai 1,400 peserta termasuk anggota tentera, polis dan orang awam terlibat dalam program gotong-royong yang melibatkan sembilan kawasan di dalam dan luar Kem Perdana Sungai Besi. - BERNAMA

Berita Harian X