Sabtu, 5 September 2015 | 1:13pm

Azwan Kombos yang saya kenali lelaki penyabar - Ezzaty Abdullah


PELAKON, Ezzaty Abdullah. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

KUALA LUMPUR: Pelakon Ezzaty Abdullah, 25, menyangkal laporan yang mengaitkan kekasihnya, Azwan Kombos adalah seorang lelaki yang panas baran dan senang naik tangan.

"Sepanjang tempoh kami berkawan, belum pernah lagi Azwan naik tangan atau menengking saya. Dia penyabar dan sentiasa tenang menghadapi apa juga situasi.

"Semoga saya dijauhkan dari lelaki sedemikian apatah lagi kaki pukul. Saya berharap Azwan tidak bersikap sebegitu," katanya ketika ditemui pada pelancaran drama Si Montel di Menara Kuala Lumpur, di sini semalam.

Sementara itu, Ezzaty turut menjelaskan hubungan beliau dan Azwan kembali pulih seperti biasa. Ezzaty menganggap kontroversi berkenaan sebagai salah faham yang biasa berlaku kepada pasangan kekasih.

Ezzaty sebelum ini mengeluarkan kenyataan di sebuah media meminta agar namanya tidak lagi dikaitkan dengan Azwan rentetan tindakan aktor itu memuat naik sekeping gambar bersama seorang pendatang baru.


EZZATY Abdullah dan Azwan Kombos. - Foto Shiraz Ali

"Alhamdulillah hubungan kami kembali pulih seperti biasa. Dia (Azwan) sudah menjelaskan kepada saya perkara sebenar.

"Sebenarnya jika diikutkan, Azwan tidak salah. Saya terdorong untuk mengeluarkan kenyataan begitu kerana dipengaruhi orang di sekelilingnya.

"Saya masih boleh menerima sekiranya hanya seorang dua menyampai perkara ini kepada saya. Namun, saya terhimpit apabila ramai memperkatakan mengenai perkara ini," katanya.

Bagaimanapun, Azwan tidak melatah dengan kenyataan Ezzaty dan menafikan percintaan mereka sudah berakhir selain menganggap kenyataan Ezzaty itu hanya mengikut emosi dan berbaur cemburu.

75 dibaca
Berita Harian X