Sabtu, 5 September 2015 | 12:33pm

Penjawat awam perlu bekerja sebagai satu pasukan, elak budaya berpuak-puak


Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengingatkan penjawat awam agar sentiasa menjaga nama baik organisasi masing-masing dan mengelak daripada membina budaya berpuak-puak.

Menurut baginda, selain mematuhi arahan ketua berpandukan prinsip integriti dan amanah, penjawat awam hendaklah berusaha mempertingkatkan prestasi kerja mereka demi menjaga imej organisasi.

"Sifat-sifat ini dapat membentuk daya jurang yang mapan, memupuk jiwa dan meningkatkan iltizam penjawat awam menjadi lebih berdaya saing," titah Tuanku Syed Faizuddin pada majlis 'Jasamu Dikenang' sempena persaraan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Abdul Malik Hussin di Pavillion Denai Larian, di sini, malam tadi.

Abdul Malik berkhidmat sebagai CEO MAIPs selama empat tahun dan sebelum itu berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 27 tahun termasuk dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs berkenan menyaksikan upacara penyerahan watikah kepada Pengurus Baitulmal MAIPs Mohd Nazim Noor yang dilantik menjalankan tugas CEO MAIPS.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

-BERNAMA

22 dibaca
Berita Harian X