Sabtu, 5 September 2015 | 12:05am
ANTARA akaun Facebook yang menawarkan perkhidmatan pembantu rumah. - Foto NSTP
TERDAPAT pelbagai peringkat umur amah yang dijual melalui WhatsApp yang menjadi rujukan bakal majikan. - Foto NSTP

Guna sehari, terbang RM1,000


JAMINAN ejen yang bayaran penuh untuk perkhidmatan amah akan dikembalikan jika majikan tidak berpuas hati dan memulangkan mereka selepas sehari bekerja, diragui.

Seorang majikan yang enggan namanya disiarkan berkata, ini kerana selepas membayar RM3,500 kepada seorang ejen yang mempromosi amah haram secara dalam talian, beliau berdepan pelbagai kesukaran bagi mendapatkan balik bayaran daripada ejen berkenan.

Majikan yang tinggal di Ampang itu percaya amah berkenaan sudah bekerja dengan beberapa majikan sebelum ini dengan diuruskan oleh ejen sama.

Bagaimanapun, katanya, selepas sehari bekerja di rumahnya, amah berkenaan sengaja membuat masalah dengan ingkar arahannya seperti leka dengan aplikasi telefon ketika waktu kerja dan mengendalikan perkakas dapur secara biadap.

Majikan itu memberitahu BH, pelbagai tingkah laku amah itu seakan-akan menunjukkan yang dia sengaja mencetus masalah supaya dipulangkan semula kepada ejen dan tanpa diduga, pemulangan amah menyebabkan beliau menanggung kerugian.

"Saya kenal ejen ini dalam talian. Dia memang selalu iklankan amah kosong tanpa dokumen. Saya terpaksa beli amah begini kerana kos lebih murah. Namun, selepas sehari, amah mula buat perangai dan saya bincangkan semula dengan ejen untuk memulangkannya.


ANTARA akaun Facebook yang menawarkan perkhidmatan pembantu rumah. - Foto NSTP

"Namun, ejen kata jika pulangkan semula, saya akan cuma dapat RM2,500 sedangkan saya sudah bayar RM3,500. Takkanlah selepas guna sehari dua saya perlu rugi RM1,000. Katanya RM1,000 itu adalah kos pengurusan ejen. RM2,500 boleh dipulangkan sebab itu bahagian tekong," katanya.

Beliau berkata, seperti ada satu pakatan atau taktik yang digunakan amah dan ejen untuk menipu majikan dan dipulangkan semula untuk dijual pula kepada majikan lain.

Dalam masa beberapa hari saja, ejen boleh kaut keuntungan RM1,000 untuk seorang amah.

Apabila wartawan menyamar dan mahu mendapatkan amah kosong, ejen menawarkan amah yang mahu dipulangkan majikan itu dengan bayaran RM3,500. Ini bermakna, selepas kaut keuntungan RM1,000 daripada majikan sebelum ini, ejen boleh terus menambah keuntungan dengan menjualnya semula.

Apabila ditanya kepada ejen kenapa tidak diberi potongan harga untuk amah itu kerana ejen sudah untung RM1,000 sebelum ini, ejen memberitahu yang itu adalah proses biasa dan bayaran itu perlu dijelaskan kepada beberapa pihak termasuk tekong yang membekalkan amah.

Selain amah itu, wartawan turut ditawarkan seorang amah kosong bernama Lestari dengan bayaran RM3,500 yang dikatakan sudah berhenti bekerja dengan majikan sebelum ini atas alasan tidak mendapat gaji selepas enam bulan bekerja.

"Lestari tidak ada pasport. Majikan dia susah nak bagi gaji. Sudah kerja enam bulan, nak bagi RM500 pun susah. Jangan risau. Yang ini saya bagi jaminan sebulan dan kalau dia buat hal, tekong akan ganti yang baharu. Kalau selepas sebulan, tak ada jaminan lagi," katanya.

Ejen haram yang menjual amah tanpa dokumen didapati membuka beberapa akaun di laman Facebook untuk mempromosi amah secara terbuka selain turut menawarkan penjualan terus kepada majikan dalam aplikasi WhatsApp.

Tinjauan wartawan BH mendapati, puluhan laman Facebook yang ada antaranya dikendalikan oleh ejen sama dengan terang-terangan mempamer dan mempromosikan amah haram dengan meletakkan gambarnya serta maklumat diri amah berkenaan.

Selain mempromosikan amah warga Indonesia, laman Facebook yang digunakan turut memaparkan gambar serta maklumat diri amah dari Filipina dengan pelbagai bentuk tawaran, antaranya 'amah kosong tanpa dokumen', 'amah ada pasport' dan 'amah yang diuruskan permit'.

Antara laman Facebook yang dikesan menawarkan amah haram ialah Mommy Rizqi Enterprise, online maid services, Khidmat Mencari Pembantu Rumah dan Pembanturumah.tk.

Penyamaran wartawan BH untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kegiatan menjual amah dalam talian membolehkan wartawan dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp, Ogos 2015 Waiting List yang dikendalikan oleh ejen itu.

Dalam kumpulan WhatsApp itu yang disertai 13 bakal majikan, pelbagai maklumat dan keterangan mengenai amah sama ada yang dijual tanpa dokumen dan mempunyai pasport, warga Indonesia dan Filipina dikemas kini setiap hari oleh dua ejen yang disyaki suami isteri.


AMAH yang dijual melalui WhatsApp yang menjadi rujukan bakal majikan. - Foto NSTP

Bagi amah kosong tanpa sebarang dokumen, ejen meletakkan harga sebanyak RM3,500 dengan syarat bayaran gaji RM800 sebulan perlu bermula sejak bulan pertama amah bekerja dan bagi amah yang mempunyai pasport dan visa pelancong, bayaran sebanyak RM7,000 dikenakan dengan gaji RM800 bermula pada bulan keempat bekerja.

Pengendali laman Facebook dan WhatsApp itu akan memasukkan gambar diri amah serta pasport jika ada dokumen dan bagi yang kosong tanpa dokumen, ia sekadar dinyatakan amah kosong atau amah bajet.

Antara ayat yang digunakan sebagai permulaan promosi pada 12 Ogos 2015, ejen menyatakan - "Update: Ada dua maid bajet dan dua maid fresh. Saya akan terangkan satu persatu. Lestari, 38 tahun. Semua kerja boleh. Kos RM3,500. Gaji RM800. Ini Maid kosong dan hanya mahu bekerja di Selangor atau Kuala Lumpur.

"Maid kedua. Maid bajet. Sitawati. Orang Melayu Deli. Umur 45. Mahu jaga orang tua dan budak umur empat tahun ke atas. Kos RM3,500. Gaji RM800. Boleh kerja di mana-mana tempat pun. Tak perlu permit. Terus bayar dan ambil.

"Calon baru. Umur 45 tahun. Jawa Medan. Boleh jaga orang tua dan bayi. Ada suami dan anak empat orang. Bayaran RM7,000. Gaji RM700. Gaji bermula bulan ke empat,"

Apabila ditanya sama ada amah kosong boleh dibuat permit, ejen secara jelas memberitahu tidak boleh dan jaminan yang diberikan adalah sebulan.

Maklumat dan kemas kini mengenai amah baharu dibuat setiap hari dan hasil temubual menerusi telefon dengan ejen, wartawan diajar bagaimana untuk memastikan proses menggajikan amah haram lebih selamat.

"Kamu kena ubah penampilan amah. Jangan bagi dia pakai tudung macam gaya orang Indonesia. Nampakkan dia macam orang kita. Setakat ini, semua amah yang datang dari saya tak ada masalah," katanya.

Berita Harian X