Jumaat, 4 September 2015 | 6:33pm

Malaysia Airlines sedia tawaran pelancongan di Pameran MATTA


MALAYSIA Airlines menyediakan tawaran pelancongan dengan potongan 50 peratus ke atas tambang penerbangan bagi kesemua laluannya di MATTA 2015 mulai hari ini hingga 6 September 2015. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines menyediakan tawaran pelancongan dengan potongan 50 peratus ke atas tambang penerbangan bagi kesemua laluannya di Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2015 mulai hari ini hingga 6 September 2015.

Tawaran dan potongan tambang penerbangan itu adalah bagi laluan domestik dan antarabangsa Malaysia Airlines, menurut Pengurus Kanan Jualan Serantau (Malaysia), Kathleen Leong dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi yang tidak dapat berkunjung ke Pameran MATTA, beliau berkata tawaran itu boleh didapati di laman web Malaysia Airlines sehingga 9 September 2015.

Promosi Pameran MATTA itu sah untuk penerbangan serta merta sehingga 31 Jun 2016.

Tawaran penerbangan pergi-balik termasuk semua itu disediakan kepada pengunjung sepanjang tiga hari karnival berkenaan di Pusat Dagangan Dunia Putra melalui semua ejen Malaysia Airlines yang mengambil bahagian.

"Itulah cara terbaik kami untuk meraikan permulaan baharu bagi syarikat penerbangan (Malaysia Airlines Bhd), dengan tawaran hebat kepada pelanggan kami," kata Leong.

Beliau berkata, Malaysia Airlines juga akan memberi 10 tiket pergi balik kelas ekonomi dan perniagaan secara percuma bagi destinasi London, Paris, Hong Kong dan Tokyo kepada pemenang Pertandingan Pembeli Pameran MATTA.

- BERNAMA

Berita Harian X