Jumaat, 4 September 2015 | 9:41am

FAM sedia bantu selesaikan isu tunggakan gaji pemain Kelantan

SHAH ALAM: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia menjadi `orang tengah' untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji yang dihadapi pemain Kelantan ketika ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sedia memberikan nasihat kepada pemain skuad The Red Warriors dan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) bagi menyelesaikan masalah itu.

Katanya, beliau akan mengadakan perjumpaan dengan Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim sewaktu mesyuarat semua Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri dan kelab di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini bagi membincangkan lebih lanjut mengenai isu berkenaan.

"FAM bersedia membantu kedua-dua pihak kerana mereka adalah ahli gabungan FAM, jadi kita akan cuba selesaikan setakat mana yang boleh supaya isu ini tidak berpanjangan," kata Hamidin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan media semalam yang menyatakan KAFA masih belum melunaskan bayaran gaji pemain Kelantan sejak dua bulan lepas.

Hamidin ditemui pemberita selepas majlis penyerahan tajaan untuk pertandingan Piala Sultan Selangor 2015 yang disempurnakan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam.

Dalam pada itu, Hamidin berkata pihaknya sudah menerima afidavit daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berhubung keengganan mereka melepaskan tiga pemain skuad Gergasi Merah untuk aksi persahabatan antara Pilihan Malaysia dan kelab Liga Perdana Inggeris, Liverpool pada 24 Julai lalu.

Katanya, Jawatankuasa Undang-Undang akan mengkaji dengan lebih lanjut berhubung afidavit berkenaan sebelum mengambil tindakan ke atas pihak yang terbabit.

FAS sebelum ini dilaporkan enggan melepaskan Afiq Azmi, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain import dari Australia, Robert Cornwaite menyertai Pilihan Malaysia kendalian Dollah Salleh atas alasan mahu menjaga prestasi pasukan bagi mengharungi jadual padat Liga Malaysia.

Malah pengurus pasukan Selangor, Amirudin Shari dikatakan bersedia berdepan sebarang tindakan daripada FAM berhubung tindakan itu.

Sebagai rekod, Selangor pernah dikenakan tindakan pemotongan tiga mata dan didenda RM20,000 oleh FAM pada tahun 2008, selepas empat pemain mereka meninggalkan klinik bola sepak legenda kelab Liverpool, Ian Rush.

Dollah yang ketika itu jurulatih Selangor dikenakan denda RM10,000 selain empat pemain iaitu Mohd Safee Sali, Indra Putra Mahyuddin, Akmal Rizal Rakhli dan Amirul Hadi Zainal, masing-masing dikenakan denda RM1,000 setiap seorang.

Sementara itu, Hamidin memaklumkan, badan induk itu akan mendapatkan laporan rasmi daripada jurulatih skuad Harimau Muda C, Hassan Sazali Mohd Waras dalam tempoh terdekat berhubung prestasi skuad berkenaan pada Kejohanan Bola Sepak AFF Bawah 19 Tahun yang sedang berlangsung di Laos.

Malaysia gagal mara ke final selepas mengalami kekalahan besar 0-5 kepada Thailand pada aksi separuh akhir di Stadium Nasional Laos di Vientiane, Laos, kelmarin. - BERNAMA

Berita Harian X