Jumaat, 4 September 2015 | 12:05am

Amah jual amah kitar semula kaut RM1,500 seorang


SEORANG amah 'senior' mampu meraih keuntungan bersih hingga RM1,500 untuk satu urus niaga dengan menjual semula amah yang lari tanpa sebarang dokumen kepada majikan baharu.

Tanpa mengeluarkan sesen pun modal dan hanya menyimpan amah bermasalah dalam masa beberapa hari di rumah di mana dia bekerja, amah itu boleh dengan mudah dijual semula kepada mereka yang memerlukan pembantu rumah segera dengan kos murah.

Senario itu dibongkar wartawan BH apabila menyamar untuk mendapatkan amah segera daripada seorang amah yang sudah 10 tahun bekerja di negara ini, yang kini berkhidmat dengan seorang majikan berpangkat doktor di Bangi.

Hasil penyamaran dan perbualan dengan amah yang hanya dikenali sebagai Kak Sal itu, wartawan diberitahu, amah tanpa dokumen boleh diperoleh dengan mudah dalam masa beberapa hari dengan bayaran RM1,500 dan gaji sebanyak RM700.

 

"Hari ini tidak ada amah baru. Malam ini mungkin ada. Saya sedang tunggu rakan saya, pemandu teksi untuk hantar dia ke sini. Jika kamu mahu, esok saya hubungi kamu dan boleh tengok. Jika setuju, boleh cuba dulu tiga hari sebelum buat bayaran.


KAK Sal bercerita mengenai kos bagi mendapatkan amah secara mudah. - Foto Ghazali Kori

"Selepas bayar, jaminan tiga bulan. Jika tidak puas hati, boleh tukar semula. Jika dia lari, saya pulangkan ikut berapa lama dia sudah bekerja. Jika sudah sebulan, saya pulangkan RM1,000. Jika sudah habis tempoh jaminan, saya tidak pulang apa-apa," katanya.

Kak Sal yang hadir bersama seorang lagi rakan yang juga amah berhampiran rumah majikannya, berkata kos RM1,500 itu dikongsi bersama beberapa amah lain yang juga menjalankan kegiatan itu secara berkumpulan.

"Bukan banyak saya dapat. Kami kongsi lima orang. Mahu bayar teksi lagi. Kena bayar mereka sebab ada masa mereka tumpangkan di rumah majikan mereka dan ada masa di rumah majikan saya. Majikan tidak kisah sebab kami sudah lama di sini.

"Lagipun, saya sendiri pernah bantu bekalkan amah tanpa dokumen kepada saudara-mara dan rakan majikan saya. Kerana itu, majikan benarkan bilik saya dijadikan tempat simpan amah sementara. Jika sudah penuh, saya tumpangkan di rumah dia," katanya sambil menunjukkan pada rakannya di sebelah.

Kak Sal berkata, majikannya adalah seorang yang terkenal dan selalu muncul menerusi rancangan televisyen. Mereka sudah berpindah ke rumah lain selepas ditegur jiran di kediaman lama kerana selalu membawa masuk amah baharu.

 

"Dalam sebulan, saya beberapa kali dapat amah kosong (tiada dokumen). Selalunya amah ini lari sebab tidak tahan dengan majikan asal yang tidak memberi cuti. Mereka jika dijaga dengan baik, tidak akan ada masalah tapi saya tidak boleh jamin apa-apa.

"Jika nak amah yang ada pasport, kamu kena tunggu saya bawa masuk dari Indonesia. Dalam seminggu dua lagi ada. Yang itu kena bayar RM3,500 sebab ada visa pelancong tapi urusan permit kamu perlu buat sendiri. Nak mudah, ambil saja yang kosong," katanya.

 

Kak Sal berkata, adalah menjadi perkara biasa bagi seorang amah yang sudah lama berkhidmat di negara ini menjadi pembekal amah kepada majikan lain kerana mereka dikenali dan dipercayai rakan lain dari Indonesia.


KAK Sal mengakui kegiatannya `menjual amah' diketahui majikannya, yang turut memberi kebenaran untuk beliau menggunakan biliknya sebagai tempat menyimpan amah sementara. - Foto Ghazali Kori

'Ejen' nasihat amah supaya lari daripada majikan

"Kak Sal selalu hubungi kami dan bertanya jika ada sebarang masalah dengan majikan. Katanya, jika tidak suka, lari saja dan dia akan aturkan teksi untuk ambil kami di lokasi tertentu. Itu biasa kerana ramai sudah lari".

 

Itu pengakuan Mila (bukan nama sebenar), seorang amah yang kini bekerja dengan seorang majikan di Selangor. Mila adalah seorang daripada amah yang dijual oleh Kak Sal dengan harga RM1,500 kerana tiada dokumen pekerjaan yang sah.

 

Malah, dalam pengakuannya kepada wartawan BH, Mila turut memberitahu yang adiknya sendiri sudah dua kali lari daripada majikan dan pulang ke pangkuan Kak Sal sebelum dijual semula kepada majikan lain untuk menjadi amah dan kali terakhir sebagai pekerja ladang.

 

Katanya, Kak Sal sentiasa berhubung dengan semua amah yang dijualnya dan menasihati mereka untuk lari dan kembali kepadanya jika tidak suka dengan majikan. Malah, Kak Sal sudah ada rangkaian dengan pemandu teksi yang membantu untuk mengambil amah yang mahu lari.

"Jika kami lari dan kembali kepadanya, dia akan jual semula kepada majikan lain. Selalunya tidak lama. Dalam sehari saja sudah boleh jual sebab ada ramai bakal majikan yang menunggu giliran. Dia jual kami RM1,500 dan semua wang itu untuknya. Kami (amah) tak dapat apa-apa.

 

"Memang Kak Sal untung besar dengan jual amah. Ketika saya sampai ke Malaysia dan tinggal satu malam di rumahnya di Bangi, saya tengok ada lima amah yang lari daripada majikan, ada bersama dalam bilik itu. Selalunya setiap hari akan ada amah baharu.

"Adik saya sendiri yang kini sudah kembali ke Indonesia pernah dua kali dia jual. Saya sendiri selalu dihubunginya dan dinasihati supaya lari atas alasan majikan saya tidak usahakan permit," katanya yang tidak mempunyai dokumen lengkap untuk permohonan permit pekerjaan.

 

Mila berkata, Kak Sal juga adalah seorang amah yang bekerja di Bangi dan mempunyai rangkaian menguruskan amah sama ada secara haram (tanpa dokumen) atau yang dibawa terus dari Indonesia dengan visa pelancong.

 

Katanya, pelbagai alasan untuk amah melarikan diri seperti masalah tidak diberikan cuti, gaji yang tidak setara dengan pekerjaan dan rasa keselamatannya tidak dijaga kerana tidak dibuat permit.

 

"Saya sendiri pernah terlintas untuk lari. Kak Sal beberapa kali sudah tawarkan saya untuk bekerja dengan majikan lain. Tidak ada masalah mencari majikan baharu kerana kos amah tanpa permit tidak mahal," katanya.

Berita Harian X