Khamis, 3 September 2015 | 2:29pm

Pengaktifan insentif getah dinaikkan kepada RM5.10 sekilo - Douglas Uggah

SERIAN: Lebih 300,000 pekebun kecil getah seluruh negara akan mendapat manfaat apabila paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dinaikkan kepada RM5.10 sekilogram berbanding RM4.60 sekilogram sebelum ini.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata harga baharu getah jenis SMR 20 FOB itu turut membabitkan harga getah sekerap peringkat ladang mengikut wilayah.

Katanya, harga baharu itu yang berkuat kuasa 1 September lalu diharapkan dapat membantu pekebun kecil getah di negara ini, selain sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam meningkatkan taraf hidup golongan itu.

Malah, beliau yakin usaha itu dapat merangsang aktiviti pengeluaran getah, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai antara eksport komoditi utama negara yang sedikit terjejas berikutan ketidaktentuan harga komoditi berkenaan sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke Tapak Projek NKEA - Projek Rubber Block Planting (RBP) Siburan, di sini, hari ini.

Kerajaan dalam pembentangan Bajet 2015 Oktober tahun lalu mengumumkan peruntukan awal dana sebanyak RM100 juta untuk IPG.

Dengan pelaksanaan IPG ini, ia akan memanfaatkan seramai 300,388 pekebun kecil di 206 kawasan Parlimen di seluruh negara yang sebahagian besarnya adalah pekebun kecil dari kawasan luar bandar.

IPG ini membabitkan insentif pengeluaran iaitu RM0.30 se kilogram (kg) getah sekerap (cuplumps) 50 peratus Kandungan Getah Kering (KGK), maksima RM0.90/kg lateks berdasarkan peratus KGK dan maksima RM0.60 bagi setiap kilogram getah Unsmoked Sheet (USS) berdasarkan peratus KGK.

Sementara itu, dalam satu kenyataan oleh kementerian terbabit hari ini, memaklumkan bahawa cadangan peningkatan itu sudah diluluskan kerajaan pada 26 Ogos lalu.

Katanya, pemberian IPG akan dilaksana pada bulan semasa apabila purata harga getah SMR 20 FOB berada pada paras RM5.10 dan ke bawah atau harga cuplumps pada paras harga RM2.00 dan ke bawah mengikut wilayah pada bulan sebelumnya.

Selain itu, kenyataan itu menyebut, kelulusan turut diberikan supaya kadar IPG ditukar daripada kadar tetap sebanyak RM0.30/kg kepada kadar berskala daripada RM0.10 sehingga RM1.45/kg berdasarkan harga cuplumps 50 peratus KGK.

Tuntutan IPG ini menurutnya, boleh dibuat di pejabat-pejabat Lembaga Getah Malaysia di Semenanjung, Jabatan Pertanian Sarawak dan Lembaga Industri Getah Sabah, dengan mengemukakan resit rasmi jualan dan Permit Autoriti Transaksi Pekebun Kecil Getah (PAT-G).

Pelaksanaan IPG ini juga akan dapat memastikan:

(i) pendapatan pekebun kecil tidak jatuh di bawah paras garis kemiskinan ketika harga getah rendah;

(ii) Pekebun kecil akan terus menoreh getah;

(iii) Menentukan paras pengeluaran tidak kurang daripada 700,000 tan setahun untuk keperluan industri hiliran;

(iiii) Import bahan mentah dikurangkan sekiranya pengeluaran dalam negara dapat dikekalkan.

(v) Sumbangan industri getah kepada Pendapatan Negara Kasar (Gross National Income - GNI) terus ditingkatkan.

95 dibaca
Berita Harian X