Khamis, 3 September 2015 | 12:53pm

13 juta kanak-kanak tidak dapat sekolah akibat konflik Asia Barat


KANAK-KANAK Syria bermain di bawah terek matahari di kem pelarian Zaatari dekat sempadan Syria di Jordan. - Foto AP

AMMAN: Lebih 13 juta kanak-kanak dinafikan hak pendidikan berikutan konflik di Asia Barat, kata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan mengingatkan cita-cita generasi muda berkenaan akan musnah jika mereka tidak dapat kembali ke sekolah.

Dalam satu laporan mengenai kesan konflik terhadap sektor pendidikan di enam negara dan wilayah di rantau itu, Tabung Kemanusiaan Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan lebih 8,850 sekolah tidak lagi boleh digunakan akibat aktiviti keganasan berkenaan.

Dalam laporan itu, ia memperincikan bahawa pelajar dan guru terpaksa datang ke sekolah walaupun berdepan serangan, kelas digunakan sebagai tempat perlindungan bom sementara dan kanak-kanak perlu berdepan musuh untuk mengambil peperiksaan mereka.

"Kesan kerosakan akibat konflik itu dirasai oleh kanak-kanak di rantau ini.

"Ia bukan saja merosakkan keadaan fizikal sekolah, tetapi kekecewaan itu turut dirasai oleh generasi kanak-kanak yang melihat impian dan masa depan mereka hancur," kata Peter Salama, pengarah serantau UNICEF di Timur Tengah dan Afrika Utara.- AFP

16 dibaca
Berita Harian X