Khamis, 3 September 2015 | 12:15am
PROSES pertukaran amah yang dilalui Norlia. - Grafik BH Online
EJEN kecil aktif mempromosi dan membekalkan amah haram tanpa dokumen melalui laman Facebook. - Grafik BH Online
TAKTIK ejen haram memberi nama lain kepada amah yang sama bagi memperdaya majikan baharu. - Grafik BH Online
KURNIA. - Foto e-mel
SUHAILA (bukan nama sebenar) mangsa pembantu rumah kitar semula. - Foto emel

Amah kitar semula: Sindiket guna Facebook cari mangsa

DALAM masa sebulan, ejen haram yang sama mampu mengaut keuntungan bersih sehingga hampir RM4,000 dengan menjual seorang amah yang sama kepada dua majikan berbeza.

Perkiraan itu hanya untuk satu kes sedangkan ejen sama terus aktif mempromosi dan membekalkan amah haram tanpa dokumen melalui laman Facebook yang dikendalikan beberapa ejen kecil lain di bawahnya.

Helahnya didedahkan dua majikan yang ditipu selepas wartawan BH berjumpa mereka untuk mendapatkan pengalaman bagaimana kedua-dua mereka diberikan alasan sama oleh amah itu sebelum diserahkan kepada ejen haram, Salmiah (bukan nama sebenar) dan seterusnya kerugian ribuan ringgit.


NORLIA (bukan nama sebenar), majikan yang menjadi mangsa penipuan sindiket amah kitar semula. - Foto e-mel

Majikan pertama, Norlia (bukan nama sebenar), diberikan amah warga Indonesia, Kurnia (bukan nama sebenar) selepas membuat bayaran RM3,000 untuk mendapatkan seorang amah tanpa dokumen. Kurnia adalah amah kedua diberikan kepada Norlia selepas amah pertama ditukar kerana mengadu tidak sihat.

  Namun, selepas seminggu bekerja, Kurnia memberi alasan masalah kesihatan dan meminta dihantar semula kepada ejen asal (Salmiah) dan akibat masalah itu, Norlia hanya diberi pulangan sebanyak RM2,000 dengan alasan baki RM1,000 digunakan sebagai wang proses ejen.

  Taktik kotor Salmiah dikesan apabila amah itu (Kurnia) diserahkan pula kepada Suhaila, seorang majikan yang juga meminta amah pertama ditukar kerana suami amah itu sendiri menghantar pesanan ringkas (SMS) kepadanya yang mengatakan isterinya tidak sihat.

  Suhaila juga tertipu apabila Kurnia sekali lagi menggunakan alasan tidak sihat dan minta dihantar semula ke ejen asal dan kali ini Suhaila kerugian RM3,000 kerana Salmiah hanya menjanjikan pulangan RM2,000 sejak Jun tahun ini tetapi sampai hari ini belum ada sebarang bayaran balik dibuat.


SUHAILA (bukan nama sebenar) ketika ditemu bual wartawan BH, baru-baru ini. - Foto e-mel

  Melihat pada taktik yang digunakan, jelas ejen dan amah yang terbabit begitu licik kerana dalam masa tidak sampai sebulan, dua majikan dapat ditipu dengan hanya menggunakan nama berbeza dan kaedah bayaran yang juga berbeza, namun dengan alasan sama iaitu masalah kesihatan.

  Norlia berkata, Kurnia bekerja dengannya hanya beberapa minggu sebelum meminta dia menghantarnya semula kepada Salmiah.

"Katanya, dia mahu balik ke Indonesia kerana sakit. Saya sudah bayar RM3,000 sebelum ini untuk dapatkan amah dan Kurnia adalah amah kedua yang digantikan ejen kerana amah pertama juga beri alasan sakit.

  "Selepas dipulangkan, saya hanya dapat semula RM2,000. Itupun selepas saya mengugut mahu lapor kepada Imigresen. Kalau tidak, ejen tidak mahu pulangkan satu sen pun. Mujur juga dapat balik sikit," katanya.

Suhaila pula berkata, dia mendapat Kurnia dengan nama lain iaitu Laila.


MESEJ perbualan antara Suhaila dan ejen. - Foto e-mel

"Laila digantikan ejen selepas amah pertama saya buat hal. Saya sudah bayar RM5,000 untuk mendapatkan amah yang ada pasport. Namun, Laila juga buat hal selepas dua minggu kerana katanya sakit.

  "Selepas dipulangkan kepada Salmiah, saya hanya dijanjikan pulangan RM2,000. Itupun hanya tinggal janji. Sejak Jun sampai hari ini saya tak dapat apa-apa. Saya sudah pasti hilang RM3,000 dan RM2,000 itupun katanya hanya akan dipulangkan jika tekong dapat jual amah kepada majikan lain," katanya.

Kedua-dua majikan yang ditipu ejen dan amah yang sama itu sedar mengenai taktik kotor itu apabila kedua-duanya berkongsi pengalaman dalam laman Facebook ejen yang pernah mengiklankan Kurnia.

gn4id:9179460

  Mereka melepaskan kemarahan kerana Kurnia bukan saja menipu, malah turut mencuri wang dalam rumah selain tidak bekerja dengan baik. Tidak cukup dengan itu, mereka ditipu pula oleh ejen sama yang sekali gus menunjukkan seakan-akan ada perancangan kotor untuk mengaut keuntungan dengan cara mengitar semula amah.

 

Berita Harian X