Khamis, 25 September 2014 | 5:45pm

KPDNKK patah 413 cubaan seleweng bahan api bersubsidi bernilai lebih RM20 juta

KOTA KINABALU: Setakat semalam, Ops Titik yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sejak Mei lepas telah berjaya mematahkan 413 cubaan menyeleweng bahan api bersubsidi dengan nilai rampasan dianggarkan RM20.37 juta.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek, berkata menerusi operasi itu, kerajaan berjaya menyelamatkan 422.82 juta liter diesel dengan nilai subsidi sebanyak RM295.97 juta bagi tempoh Mei hingga Ogos lepas.

"Masalah kekurangan diesel di stesen-stesen minyak yang sebelum ini berlaku hampir setiap hujung bulan, kini sudah tidak berlaku lagi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku "Garis Panduan Menentang Tipuan Bida Dalam Perolehan Awam' dan 'Help Us Detect Bid-Rigging' di sini hari ini.

Beliau berkata, pihak kementerian menerusi bantuan dan kerjasama daripada pelbagai agensi dan penguatkuasaan akan terus meningkatkan lagi operasi termasuk di Sabah dan Sarawak bagi mengekang penyelewengan petrol dan diesel bersubsidi.

Katanya, kementerian menghargai sumbangan dan kerjasama orang ramai yang memberi maklumat terhadap sebarang aktiviti penyelewengan bahan api bersubsidi itu.

Sementara itu, Hasan meminta semua pihak berganding bahu mencegah amalan tipuan bida dalam perolehan awam yang merugikan masyarakat dan ekonomi negara ini selain penglibatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menganjurkan program kesedaran dan usaha sama dengan agensi relevan dan Kementerian Kewangan.

Dalam usaha meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai isu tipuan bida dalam perolehan awam, katanya MyCC telah menterjemahkan 'Guidelines For Fighting Bid-Rigging In Public Procurement' ke dalam bahasa Melayu bertajuk 'Garis Panduan Menentang Tipuan Bida Dalam Perolehan Awam'.

Selain itu, katanya, MyCC juga menyediakan buku panduan bertajuk 'Help Us Detect Bid-Rigging' dan 'Bantu Kami Mengenal Pasti Tipuan Bida'.

Beliau berharap seminar sehari yang dihadiri kira-kira 150 pegawai perolehan awam daripada pelbagai agensi kerajaan itu dapat meningkatkan kemahiran mereka dalam mengenal pasti serta mencegah pakatan sulit atau tipuan dalam proses perolehan awam.

- BERNAMA

Berita Harian X