Rabu, 2 September 2015 | 2:38pm

14 ahli geng 35 ditahan kerana bergaduh, merusuh

ALOR SETAR: Seramai 14 lelaki daripada kumpulan kongsi gelap 35 ditahan kerana terbabit pergaduhan dan rusuhan dalam tiga kejadian berasingan di Bedong, Sungai Petani, dekat sini, pada Isnin.

Difahamkan ketiga-tiga insiden pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham sehingga menyebabkan seorang mangsa cedera parah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya, berkata kejadian itu bermula ketika upacara keagamaan di sebuah kuil di Bedong, Sungai Petani kira-kira jam 10.30 malam Isnin.

Berlaku perselisihan faham menyebabkan sebahagian kumpulan kongsi gelap 35 menyerang sekumpulan lelaki daripada kumpulan kongsi gelap sama.

Beliau berkata, akibat pergaduhan itu seorang lelaki cedera parah ditetak di bahu kiri menyebabkan dia terpaksa menerima rawatan di Hospital Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan.

Berang rakan mereka cedera, kumpulan membuat serangan balas di kawasan ladang kelapa sawit berhampiran kuil itu dan membakar 11 buah motosikal.

"Mereka turut menyerang rumah seorang ahli kumpulan kongsi gelap itu dan mengelar anjing peliharaan selain merosakkan kenderaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, di sini, tadi.

Mohd Nashir berkata, polis sedang memburu lima lagi lelaki dipercayai terbabit dalam insiden itu bagi membantu siasatan.

327 dibaca
Berita Harian X