Rabu, 2 September 2015 | 12:13am
KESENIAN mirip tarian singa masyarakat Cina jadi warisan ribuan tahun. - Foto Nik Hariff Hassan

Ngauman Gangryung Korea

AHLI kumpulan Tarian Topeng Gangryung selepas mengadakan persembahan di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

JIKA tarian singa yang dipersembahkan oleh masyarakat Cina di negara ini dikuasai aksi penari yang gerak langkahnya terlindung di sebalik kostum, tarian seakan-akan sama dalam versi Korea dipanggil Tarian Topeng Gangryung berkongsi elemen sama tetapi dengan ciri unik yang tersendiri.

Masih menjadikan singa sebagai tunjang dalam tarian, Gangryung mengetengahkan beberapa penari yang mengenakan topeng muka dengan karakter dan ekspresi berbeza dalam posisi mengelilingi penari utama yang mengenakan kostum singa.

Ketua Kumpulan Tarian Topeng Gangryung, Kim Paik Kwang ketika ditemu bual selepas mengadakan persembahan di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur, baru-baru ini, berkata tarian itu sudah wujud sejak ribuan tahun yang lalu, tetapi terus diwarisi sehingga ke hari ini.

"Tarian ini pada dasarnya signifikan kepada masyarakat Korea beragama Buddha kerana dikenali sebagai seni persembahan berciri keagamaan.

"Ia biasanya dipersembahkan dalam upacara keagamaan dan sambutan tahun baharu, tetapi sudah dikomersialkan hingga dianggap seni tari popular dalam pelbagai acara dalam dan luar negara," katanya.

Pada persembahan itu, empat penari dengan dua daripadanya terlindung dalam kostum singa diapit oleh dua penari lelaki yang mengenakan topeng dipanggil Chwi Bali.

Sepanjang tarian, lenggok gemalai singa dan dua pemuda itu yang agak agresif seakan-akan gambaran penceritaan menunjukkan watak yang dilakonkan oleh penari berdasarkan topeng yang dipakainya.

Tarian Gangryung juga diiringi dengan beberapa alat muzik, termasuk 'danso' yang diperbuat daripada buluh dan seakan-akan bentuk seruling serta digunakan secara meluas dalam persembahan seni muzik tradisional di Korea.

Paik Kwang berkata, tarian bersama topeng yang turut dikenali di Korea dengan nama 'Talchum' juga kebanyakannya berkongsi ciri yang sama, iaitu menggunakan topeng, diisi dengan tari dan elemen drama yang bertindak menghubungkan penonton lebih dekat dengan persembahan berkenaan.

ANTARA corak topeng yang digunakan kumpulan Tarian Topeng Gangryung. - Foto Nik Hariff Hassan

Jenis tarian topeng terawal di Korea pula ialah Cheoyong yang disusuli dengan kemunculan seni tari di pelbagai wilayah lain, termasuk tarian Gangneung Gwanno Nori dan Bukcheong.

Persembahan Gangryung itu sebahagian daripada pertunjukan kesenian berasaskan topeng yang diadakan pada Festival Topeng Antarabangsa Malaysia.

Festival bertemakan Menyusuri Masa... Setiap Wajah Ada Cerita itu, disertai 287 peserta tanah air, selain kumpulan kesenian dari Filipina, Indonesia, Sri Lanka, Thailand, China dan Itali.

Berita Harian X