Rabu, 2 September 2015 | 12:07am
PRESIDEN Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia, Jeffrey Foo bersama pembantu rumah Indonesia yang bersiap sedia untuk bekerja. - Foto Che Rani Che Din.

Sindiket amah kitar semula


MALAM ini, di rumah kita, esok mungkin di rumah orang lain. Itulah yang dihadapi majikan apabila diperdaya ejen yang menawarkan pembantu rumah atau amah kitar semula.

Bukan sahaja kerugian ribuan ringgit, majikan juga terpaksa menanggung rugi apabila ada segelintir amah turut mencuri barangan berharga ketika melarikan diri.

Presiden Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein ketika ditemui BH, mendedahkan hampir 300 aduan terima pihaknya daripada majikan yang diperdaya ejen yang mengitar semula amah.

"Statistik Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) menunjukkan ada 12,000 kes melarikan diri pada tahun lalu dan daripada jumlah itu kami mengesan 300 kes amah yang dikitar semula.

"Berdasarkan aduan, majoriti amah kitar semula yang melarikan diri ini adalah dari Indonesia kerana harganya jauh lebih murah," katanya ketika ditemui di sini.

Engku Ahmad Fauzi berkata, taktik kitar semula itu dikesan berdasarkan laporan beberapa majikan yang diperdaya amah dan ejen sama.


PRESIDEN Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA), Engku Ahmad Fauzi Engku Muhsein. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat.

"Di rumah majikan pertama, amah ini menggunakan nama Anna dan di rumah majikan kedua dia menggunakan nama Eton (nama lain).

"Perkara ini (majikan ditipu) berlaku kerana tiada perjanjian hitam putih di antara majikan dan ejen, hanya perjanjian mulut," katanya.

Beliau berkata, walaupun jumlah amah yang sah lebih ramai melarikan diri berbanding amah haram, risiko kerugian paling tinggi ditanggung majikan yang mengambil amah secara haram.

"Kami tidak dapat bantu mereka, jika mereka (majikan) membuat laporan polis sekali pun mereka juga dipersalahkan kerana tindakan mereka menyalahi undang-undang.

"Kami hanya mampu menasihati mereka dengan merujuk Kementerian Sumber Manusia dan ejen yang sah untuk mereka mengambil pekerja," katanya.

Engku Ahmad Fauzi ketika ditanya mengapa masih ramai tidak serik mengambil amah secara haram, berkata kos pengambilan pembantu rumah yang tinggi mendorong majikan memilih cara yang tidak dibenarkan.


LEBIH 300 aduan diterima Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) berkenaan amah. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat.

"Kos sudahlah tinggi, ambil yang sah pun lari, sebab itu mereka ambil yang haram. Berdasarkan aduan, majikan turut dipersalahkan oleh pihak berkuasa kerana menjadi punca amah lari.

"Jika tiga kali kes amah lari, majikan bukan sahaja didenda malah nama mereka turut disenaraihitamkan. Ini menjadi punca mereka memilih amah yang tidak sah," katanya.

Beliau sehubungan itu mencadangkan langkah segera diambil bagi mengelak lebih ramai majikan menjadi mangsa.

"Saya mengesyorkan kerajaan mewujudkan amah separuh masa atau berdasarkan jam iaitu mereka (amah) tidak tinggal bersama majikan dan hanya menjalankan tugas dalam tempoh tertentu.

"Amah perlu ditanggung sepenuhnya oleh ejen yang membawa mereka. Jika seseorang amah itu tidak suka pada majikan, mereka boleh ditukar dengan amah lain," katanya.

Engku Ahmad Fauzi berkata, dengan langkah berkenaan, majikan tidak akan kerugian jika amah melarikan diri.

Katanya, langkah itu bagi memastikan ejen mengambil pembantu rumah yang benar-benar berkualiti kerana mereka yang akan menanggung akibat jika tersalah memilih pekerja.


LEBIH 300 aduan diterima Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) berkenaan amah. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menerima hampir 400 aduan pada tahun 2013 berkaitan isu amah warga Indonesia yang melarikan diri dan dikitar semula sama ada sebagai amah atau bekerja dengan sektor lain dengan kos kerugian lebih RM235,000.

Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ada satu taktik membabitkan ejen yang menjual semula amah selepas mereka melarikan diri daripada majikan asal sejurus tamat tempoh perjanjian.

"Biasanya ejen akan beri satu tempoh jaminan kepada majikan. Jika amah buat hal sebelum tamat tempoh, ejen akan gantikan dengan amah lain tetapi biasanya amah akan lari selepas tempoh tamat dan majikan akan tidak dapat apa-apa.

"Amah ini akan lari ke ejen asal sebelum dijual pula ke majikan baru atau dihantar ke sektor pekerjaan lain. Ini yang menyebabkan ramai amah sah menjadi kosong (tidak ada dokumen) kerana lari daripada majikan asal tanpa membawa dokumen bersama.

Ejen kaut untung

"Majikan akan rugi dan ejen pula akan kaut untung berganda dengan menjual semula. Ini yang kerajaan perlu pandang secara serius. Tindakan perlu diambil untuk kekang masalah ini," katanya kepada BH.

Beliau berkata, dipercayai memang berlaku pakatan di antara ejen dan amah untuk lari daripada majikan asal dan mereka sanggup pula dijual kepada majikan lain tanpa dokumen sah.

Majikan baru pula, katanya, tidak kisah untuk membeli amah yang kosong kerana kos lebih rendah berikutan kos yang perlu dibayar untuk mendapatkan amah sah terlalu mahal.

"Majikan tahu simpan amah haram melanggar undang-undang dan majikan boleh dikenakan tindakan. Mereka juga tahu risiko tinggi menggajikan amah sebegini tetapi apa mereka boleh buat sebab kos untuk amah sah terlalu mahal.

"Masalahnya, ambil amah sah juga belum tentu selamat. Aduan yang FOMCA terima banyak membabitkan amah yang berdokumen. Mereka lari selepas habis tempoh jaminan. Ini juga sebab majikan tidak kisah ambil yang haram sebab kesannya sama," katanya.

Mohd Yusof berkata, sebagai langkah membantu rakyat negara ini, kerajaan sepatutnya mempertimbangkan segera cadangan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim pada Februari tahun lalu, yang mahu pusat asuhan kanak-kanak (TASKA) diwujudkan di semua premis terutama milik kerajaan.

Katanya, langkah itu dapat mengurangkan kebergantungan majikan kepada amah kerana anak boleh dihantar ke TASKA berhampiran rumah mereka.

"Bukan saja cadangan tetapi Rohani pernah sebut yang kementerian wajibkan semua premis kerajaan adakan TASKA tetapi sampai hari ini tiada tindakan digerakkan. Buat segera untuk sekurang-kurangnya mengurangkan isu amah," katanya.

Amah mendakwa mereka dianiaya ejen. Ikuti pengakuan mereka, esok.

Berita Harian X