Rabu, 2 September 2015 | 12:05am
TOK Dalang, Eyo Hock Seng atau Pok Cu Tok Dalang membuat persembahan Gema Seni Tradisional Angin Wayang di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
ANTARA persembahan Gema Seni Tradisional Angin Wayang di Akademi Seni Kebangsaan (ASWARA). - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Pok Cu Tok Dalang Cina


NAMA Eyo Hock Seng mungkin tidak 'mesra' dalam dunia seni budaya, tetapi jika disebut Pok Cu Tok Dalang atau Shafie Tok Dalang, tokoh itu pasti dikenali apatah lagi beliau adalah satu-satunya Tok Dalang berbangsa Cina yang aktif bermain wayang kulit Kelantan.

'Perkenalan' Pok Cu dengan seni tradisi yang sinonim dengan masyarakat Melayu Kelantan itu, sudah bermula sejak lebih separuh abad lalu, iaitu ketika anak kelahiran Kampung Pasir Parit, Pasir Mas, itu mencecah usia sembilan tahun.

Mengikut Pok Cu, ketika minatnya pada wayang kulit semakin bercambah, beliau akan mengambil peluang menonton persembahan wayang kulit oleh Tok Dalang terkenal, Karim Parido dan Dollah Baju Merah bersama rakan-rakan, setiap malam.

Setiap kali itu juga Pok Cu yang pernah menjadi Tok Dalang dalam persembahan di Paris, 'galak' memerhatikan dengan teliti, watak dimainkan dalam pementasan itu misalnya Sri Rama dan Hanuman.

EYO Hock Seng atau Pok Cu Tok Dalang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Muzik tin susu, biskut

"Pulang ke rumah, saya akan melukis watak itu dan menghasilkannya menggunakan daun kayu. Selepas watak siap, saya bersama rakan berbangsa Cina yang lain akan bermain seolah-olah berada dalam satu pementasan wayang kulit.

"Saya akan menjadi Tok Dalang dan mereka akan memainkan muzik yang dihasilkan daripada tin susu dan tin biskut," katanya kepada Sastera BH.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas bicara Angin Wayang Eye Hock Seng Tok Dalang Cina di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bicara itu sebahagian daripada program Gema Seni Tradisional anjuran Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) ASWARA, selain persembahan Angin Wayang yang diadakan di Dataran ASWARA bertujuan mendekatkan khalayak ibu kota dengan tokoh dan kesenian tradisi.

Pok Cu yang dianugerahkan Tokoh Orang Hidup 2012 oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan berkata, minatnya yang tumpah kepada seni wayang kulit ini menyebabkan beliau berguru dengan Hashim Isa atau lebih dikenali sebagai Pak Cik Asin.

POK Cu Tok Dalang membuat persembahan Gema Seni Tradisional Angin Wayang. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Jadi tok dalang usia muda

Pada awalnya, Pok Cu bermula dengan bermain alat muzik dalam pementasan wayang kulit sebelum dibenarkan menjadi Tok Dalang Muda ketika usianya mencecah 14 tahun.

"Benda berkaitan seni ini mengambil masa dan memerlukan banyak latihan, justeru saya dibenarkan memegang watak Tok Dalang hanya beberapa tahun selepas itu, iaitu sebelum usia mencecah 20 tahun.

"Dari usia sembilan hingga 14 tahun, saya bermain alat muzik dulu sebelum dibenarkan menjadi Tok Dalang Muda.

"Selepas menjadi Tok Dalang Muda, barulah guru mengatakan saya ada bakat untuk menjadi Tok Dalang Tua dan mengajar cerita serta intonasi suara bersesuaian dengan watak sama ada kecil atau besar dan lelaki atau wanita," katanya yang menubuhkan kumpulan wayang kulit Sri Campuran pada tahun 1977.

Minat Pok Cu kepada seni wayang kulit disokong penuh oleh kedua-dua orang tuanya yang mempunyai minat sama, malah mereka turut membelikannya anak alat muzik dan anak patung wayang kulit.

POK Cu Tok Dalang bersama rakan-rakan membuat persembahan Gema Seni Tradisional Angin Wayang di Akademi Seni Kebangsaan. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Anak bongsu tunjuk minat

Tidak hairanlah, Pok Cu kini menyokong penuh minat yang ditunjukkan oleh anak bongsunya, Eyo Sook Thi, 15, yang berminat main wayang kulit.

Bagaimanapun, pada peringkat awal, Pok Cu mengajar permainan muzik kepada Sook Thi terlebih dulu seperti yang pernah dialaminya dulu kerana beliau sendiri pun belajar menggunakan alat muzik kira-kira lima tahun sebelum menjadi tok dalang.

Malah, cucu saudara Pok Cu dan cucunya sendiri yang baru saja mencecah usia empat tahun turut menunjukkan minat yang sama.

"Generasi muda perlu terus didedahkan dengan kesenian wayang kulit Kelantan. Jika mereka tidak meneruskannya, tidak mustahil seni tradisi ini akan berkubur dalam masa beberapa puluh tahun lagi.

"Saya amat menyokong usaha institut pengajian tinggi (IPT) tanah air termasuk ASWARA yang menawarkan kursus ini sebagai sebahagian daripada subjek wajib dalam memastikan ia terus dikenali generasi muda," katanya.

Apatah lagi, kata Pok Cu, pementasan wayang kulit juga diminati oleh bangsa Cina dan Siam, selain merentasi generasi berdasarkan minat berbeza.

"Biasanya generasi tua lebih berminat dengan cerita yang disampaikan, manakala penonton muda melihat persembahan sekadar hiburan.

"Dari sudut bahasa yang digunakan pula, saya melihat kepada suasana setempat. Kalau persembahan dibuat di penempatan orang Siam, saya akan banyakkan penggunaan bahasa Siam," katanya.

Berita Harian X