Selasa, 1 September 2015 | 12:08am
UQASHA menafikan beliau gemar bertukar-tukar pasangan. - Foto Amirudin Sahib

Uqasha Senrose nafi `playgirl'


RAUT wajah jelita dan berperwatakan lembut menjadikan kehadiran Uqasha Senrose sentiasa mencuri perhatian.

Seindah nama, pelakon berusia 24 tahun ini menyulam paras jelitanya dengan keperibadian yang baik dalam santun seorang wanita Melayu, namun ia tidak menjamin seseorang artis itu bebas daripada sebarang kontroversi.

Menyedari pelbagai kontroversi sedang melandanya, Uqasha berterus terang beliau sebenarnya masih belum kuat untuk melalui fasa perubahan itu dengan sepenuhnya.

"Imej bertudung ini bukanlah kerana saya mengikut trend, tapi ia sesuatu yang datang secara mengejut dan perlukan masa berubah sepenuhnya.

"Beri saya masa kerana keputusan memakai tudung ini adalah satu benda yang besar pada saya. Dalam hal imej ini, saya mahu buat secara perlahan," katanya kepada BH PLUS.


PELAKON, Uqasha Senrose. - Foto Amirudin Sahib

Mengulas pula mengenai kisah peribadinya, Uqasha berkata, setiap hubungannya dengan mana-mana lelaki kini hanyalah sekadar teman biasa.

Beliau turut menepis dakwaan terbaru yang mengatakan beliau menjalinkan hubungan dengan pelawak dan pengacara, Zizan Razak.

Khabar angin timbul apabila kelibat Zizan dilihat menghantar dan menemani Uqasha semasa sedang bekerja.

"Kebetulan saja kami berdua tinggal berdekatan di kawasan Subang dan saya meminta jasa baik Zizan untuk menghantar saya memandangkan saya tiada kenderaan ketika itu.

"Saya sendiri kurang pasti mengapa nama saya sering kali dikaitkan dengan mana-mana lelaki kerana sejujurnya kami hanya berkawan saja.

"Apabila cerita sebegini timbul, ada pihak yang menganggap saya seperti playgirl dan mempunyai persepsi negatif terhadap diri saya.

"Jangan salah anggap. Saya bukan seorang playgirl. Bukan kehendak saya, hubungan percintaan saya dengan lelaki, bertukar-tukar daripada seorang kepada seorang yang lain. Mungkin kerana tiada jodoh dan kesefahaman," katanya.


UQASHA menegaskan hubungannya dengan mana-mana lelaki kini hanyalah sekadar teman biasa. - Foto Amirudin Sahib

Pelakon filem Paku Pontianak itu menafikan beliau seorang wanita yang gemar bertukar-tukar pasangan. Namun, beliau mengakui bukan mudah untuk mencari kekasih hati yang memahami kerjaya dan berkongsi minat yang sama dengannya.

Wanita dari negeri Che Siti Wan Kembang itu sebelum ini pernah bertunang dengan pelakon, Pekin Ibrahim sebelum berpisah dan dikaitkan dengan seorang lagi pelakon, Syafiq Kyle. Terbaru, beliau dilihat rapat dengan Iqram Dinzly dan Zizan.

Menyifatkan dirinya sebagai seorang yang pemalu, Uqasha sendiri tidak menyangka akan diberi peluang untuk berada di gelanggang permainan interaktif popular Astro iaitu program Super Spontan All Stars.


UQASHA diberi peluang untuk berada di gelanggang permainan interaktif popular, Super Spontan All Stars. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Beliau menjelaskan menerima tawaran itu bagi mencabar kemampuan dirinya untuk mencuba cabang seni lain.

"Semua yang menyertai program itu adalah pelawak hebat, saya terasa kerdil juga sebab saya bukannya seorang pelawak. Tetapi saya tak mahu lepaskan peluang itu sebab saya rasa, ia dapat menaikkan keyakinan saya untuk berdepan dengan penonton secara langsung.

"Saya tidak menyasarkan untuk menjadi pelawak kerana ia berada di luar bidang kemahiran saya. Namun, tujuan saya masuk program itu pun kerana saya suka dengan konsep permainan interaktif itu dan saya cuma nak berseronok," kata Uqasha.

60 dibaca
Berita Harian X