Selasa, 1 September 2015 | 12:04am

Baju Ala Bimbang warisan masyarakat Bajau Semporna


BUSANA tradisional masyarakat Bajau Semporna jadi pelengkap majlis keraian terutama Regatta Lepa.

SELAIN kemeriahan sambutan pesta Regatta Lepa bagi masyarakat Bajau Semporna yang diadakan pada setiap tahun, tarikan dan tumpuan pengunjung ialah terhadap baju tradisional dipakai, iaitu Ala Bimbang dengan corak berwarna-warni.

Regatta Lepa atau pesta sukan air adalah perayaan utama masyarakat Bajau Semporna yang biasanya disambut meriah pada April setiap tahun.

Ada yang berwarna biru, kuning, merah, hijau dan hitam dengan corak keemasan menyerlahkan keunikan seni rekaan itu pada badan individu yang menggayakannya.

Lebih menarik, apabila baju berkenaan dipakai si ratu lepa, wanita yang menjadi penyeri 'lepa' atau perahu (dalam bahasa Bajau Semporna) sambil menari igal-igal.

Bagi masyarakat Bajau Semporna, daerah di timur Sabah kaya dengan keindahan pulau seperti Pulau Sipadan yang diiktiraf destinasi pelancongan terbaik di Asia, baju Ala Bimbang adalah kemestian pada majlis keramaian dan pesta. Kurang lengkap acara itu jika tidak mengenakan persalinan itu.

Sejarah pembuatan baju Ala Bimbang asalnya berwarna hitam kerana dikatakan pada waktu itu kebanyakan kain dipakai berwarna hitam, manakala masyarakat Bajau belum mahir meletakkan pewarna pada kain.

Warna hitam dianggap sebagai warna keaslian Bajau, manakala kuning cuma dipakai oleh golongan atasan.

Bagaimanapun, peredaran zaman menjadikan fesyen pakaian itu turut menyediakan pelbagai warna bagi melambangkan kasta masyarakat, tetapi masih mengekalkan coraknya.


SAMBUTAN pesta Regatta Lepa tambah meriah apabila si ratu lepa lengkap berbaju Ala Bimbang menari igal-igal.

Bagi si pemakai baju Ala Bimbang, tidak lengkap jika tidak memakai mahkota atau dipanggil 'jabang', tali pinggang atau 'kambut' dan tanjak bagi pemakai lelaki, selain perhiasan manik bulat pada baju dan 'bungkah' atau gelang yang berwarna keemasan.

Bagi penari pula, sudah menjadi adat resam mereka untuk mengenakan sarung kuku atau 'salung' bagi menonjolkan lagi lemah gemalai tarian igal-igal.

Tukang jahit, Siti Rokiah Epeh, 63, antara wanita dalam masyarakat Bajau Semporna yang sejak berusia belasan tahun sudah mula menjahit pakaian tradisional itu kerana minat dan tekad untuk memastikan budaya masyarakat berkenaan tidak pupus ditelan zaman.

Katanya, untuk menjahit sepasang baju, beliau memerlukan tempoh antara dua minggu hingga sebulan dengan kerja yang paling sukar adalah memasang manik bulat dan menjahit corak pada baju.

"Biasanya saya menggunakan kain berwarna hitam dan memasang corak berwarna keemasan atau hijau kerana ia adalah warna asas yang digunakan oleh masyarakat Bajau di Semporna sejak zaman nenek moyang lagi.

"Zaman sekarang tidak sukar menyiapkan sepasang baju, berbanding dulu yang mengambil masa berbulan-bulan kerana dijahit menggunakan tangan.

"Kalau ada yang tempah sekarang, dua minggu sudah siap dengan bantuan mesin jahit. Corak baju pun semakin banyak yang boleh dibuat dan direka berdasarkan kreativiti sendiri," katanya ketika ditemui FAMILI di Semporna, baru-baru ini.

Siti Rokiah berharap budaya kesenian yang diwarisi oleh masyarakat itu sejak turun-temurun tidak akan dilupakan dan luput ditelan zaman oleh generasi muda.

Bagi Salasiah Abdul Rani, 22, gadis daripada masyarakat Bajau Semporna, baju Ala Bimbang bukan sekadar menonjolkan kesenian masyarakat itu, malah menjadikan majlis keramaian lebih meriah.

Salasiah berkata, beliau memakai baju tradisional itu pada setiap keramaian dan sambutan Regatta Lepa sejak berusia 14 tahun, iaitu ketika mula-mula menyertai pertandingan ratu lepa.

"Menjadi tradisi masyarakat kami mengenakan baju ini setiap kali ada keramaian. Tidak mungkin saya melupakan budaya biarpun saya berhijrah ke negeri orang," katanya.

Warga tua dari Kampung Kabimbangan Tengah, Semporna, Karino Jalani, 62, berkata beliau bimbang sekiranya tiada inisiatif yang diambil oleh pihak berkaitan, seni jahitan baju berkenaan kemungkinan akan hilang begitu saja seiring perubahan zaman.

"Macam sekarang, ramai anak muda keturunan Bajau Semporna tidak fasih bertutur bahasa Bajau, sebaliknya lebih banyak berbahasa Melayu kerana peredaran zaman, begitu juga dalam seni jahitan baju Ala Bimbang ini.

"Sebahagian besar penjahit yang ada di sini sekarang terdiri daripada mereka yang sudah berusia. Kita takut jika seni ini tidak lagi diwarisi, maka ia akan hilang ditelan zaman.

"Jika ada institusi yang menyediakan latihan ini, sekurang-kurangnya kita bukan sahaja dapat memartabatkan budaya ini, tetapi secara tidak langsung memberi kemahiran dan pekerjaan kepada anak muda," katanya.

 

INFO: Masyarakat Bajau Semporna

  • Mendapat jolokan istimewa dan unik seperti gipsi laut, panglima di laut, pelaut dan pelayar terunggul kerana kehidupan seharian lebih berasaskan laut.
  • Regatta Lepa yang mula diperkenalkan pada tahun 1994 menjadi sambutan tahunan masyarakat Bajau Semporna.
  • Menjadikan lepa sebagai pengangkutan penting suatu masa dulu.
  • Pakaian Ala Bimbang digunakan pada majlis perkahwinan atau keramaian.
  • Ala Bimbang melambangkan keagungan suku kaum Bajau pada zaman dahulu.

362 dibaca
Berita Harian X