Isnin, 31 Ogos 2015 | 11:44am

EPL: Shelvey dipilih wakili England selepas bantu Swansea kejutkan United


PEMAIN Manchester United, Morgan Schneiderlin cuba mengasak pemain Swansea, Jonjo Shelvey, (tengah). - Reuters

LONDON: Kejayaan membantu Swansea City mengejutkan Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United di Stadium Liberty malam tadi (waktu Malaysia) pasti tidak akan dilupakan oleh Jonjo Shelvey.

Ini kerana tidak lama selepas kemenangan itu, namanya turut disenaraikan oleh jurulatih Roy Hodgson dalam skuad England, bagi menghadapi saingan kelayakan Euro 2016 menentang San Marino dan Switzerland.

Perancang bertenaga ini pertama kali dipanggil mewakili negaranya menentang San Marino kira-kira dua tahun lalu.

"Jonjo Shelvey diberi peluang lagi selepas mempamerkan persembahan yang mengagumkan sejak permulaan musim liga," kata Hodgson dalam kenyataan di sini.

Selain Shelvey, turut dipanggil bagi aksi berkenaan adalah pertahanan kiri United, Luke Shaw yang kali terakhir bermain untuk negaranya ketika England menewaskan Scotland, 31- pada November 2014.

Penjaga gol Burnley, Tom Heaton adalah antara pemain yang pertama kali turut dipanggil.

England bakal menentang San Marino pada 5 September ini di tempat lawan, dan akan menyambut kunjungan Switzerland di Wembley tiga hari kemudian.

Setakat ini, pasukan Hodgson sudah memenangi semua enam aksi kelayakan dan hanya memerlukan empat mata lagi dari dua baki perlawanan bagi memastikan mereka memenangi Kumpulan E.

Kejayaan itu akan membolehkan pasukan berkenaan layak secara automatik ke pusingan akhir Euro 2016 di Perancis tahun depan.

Aksi menentang San Marino ini juga bakal menjadi pertaruhan paling baik untuk Wayne Rooney mencatat rekod baru sebagai penjaring terbanyak England sepanjang zaman.

Penyerang Manchester United itu yang sudah menjaringkan 48 gol, kini memerlukan satu lagi gol untuk menyamai jaringan Bobby Charlton.

SENARAI PEMAIN SKUAD ENGLAND

PENJAGA GOL: Joe Hart (Manchester City), Jack Butland (Stoke City), Tom Heaton (Burnley).

PERTAHANAN: Nathaniel Clyne (Liverpool), Luke Shaw (Manchester United), Kieran Gibbs (Arsenal), Gary Cahill (Chelsea), Chris Smalling (Manchester United), John Stones (Everton), Phil Jagielka (Everton).

PERANCANG: Michael Carrick (Manchester United), James Milner (Liverpool), Ross Barkley (Everton), Jonjo Shelvey (Swansea City), Ryan Mason (Tottenham Hotspur), Alex Oxlade-Chamberlain (Arsenal), Fabian Delph (Manchester City).

PENYERANG: Raheem Sterling (Manchester City), Wayne Rooney (Manchester United), Harry Kane (Tottenham Hotspur), Jamie Vardy (Leicester City), Theo Walcott (Arsenal).

- REUTERS

Berita Harian X