Ahad, 30 Ogos 2015 | 8:31am

Vermaelen hero Barca tundukkan Malaga


PERTAHANAN Barcelona, Thomas Vermaelen (kanan) bersaing dengan pemain Malaga, Ricardo Horta, pada perlawanan La Liga di Camp Nou, Barcelona, awal pagi tadi. - Foto EPA

MADRID: Thomas Vermaelen muncul wira Barcelona untuk terus mengukuhkan penguasaan La Liga Sepanyol untuk mencatat kemenangan 1-0 ke atas Malaga di Camp Nou, awal pagi tadi.

Pemain pertahanan Belgium itu menceriakan kem skuad Catalan untuk jaringan tunggalnya pada minit ke-73 selepas hampir tidak beraksi sepenuhnya sepanjang musim lalu disebabkan mengalami kecederaan.

Bekas kapten Arsenal itu nyata menyaingi bintang Barca yang lain seperti Lionel Messi, Luis Suarez dan Neymar yang gagal merobek gawang lawan.

Malah, Neymar yang beraksi pertama kali musim ini turut buntu mencari gol. Tandukan Suarez pada minit ke-4 permainan pula dibatalkan selepas mengasari penjaga gol Malaga, Carlos Kameni.

Malaga mengejutkan Camp Nou apabila mencatat kemenangan 1-0 musim lalu dan kehadiran mereka kali ini hampir mencatat gol pendahuluan menerusi rembatan Juan Carlos dari jarak 60 ela yang hanya beberapa inci tersasar. - AFP

Berita Harian X