Ahad, 30 Ogos 2015 | 12:02am
DAUD menunjukkan parang Limbang yang dihasilkannya. - Foto Khalid Latip
PARANG Limbang ada identiti tersendiri. - Foto Khalid Latip
PARANG Limbang Masih mendapat permintaan tinggi. - Foto Khalid Latip
KEUNIKAN parang Limbang terletak pada kehalusan seni pembuatnya. - Foto Khalid Latip

Parang Limbang bukan sembarangan


SEBAHAGIAN parang Limbang yang ditempah pelanggan. - Foto Khalid Latip

PARANG Limbang bukan sahaja cukup istimewa dalam kalangan masyarakat utara Sarawak tetapi juga peminatnya dari seluruh pelusuk tanah air, sekali gus membuatkan senjata tradisional itu masih kekal popular hingga kini.

Kepentingan Parang Limbang dalam kaum pribumi Limbang boleh dikatakan sama pentingnya Parang Ilang bagi masyarakat Iban.

Seperti juga parang lain, Parang Limbang terdiri daripada ulu, sarung dan bilah parang. Bahagian ulu parang biasanya diperbuat menggunakan kayu pilihan yang dihias dan diukir dengan corak yang pelbagai.

Pembuat Parang Limbang, Daud Tuah, 58, berkata ramai tidak tahu seni pembuatan parang itu cukup halus, dengan identiti sosial budaya setempat, manakala reka bentuk mata parang yang lurus tajam dan sarung serta ulu diukir begitu teliti.

"Selain tempoh masa yang agak lama, pembuatan parang ini memang rumit dan memerlukan kemahiran. Tanpa dua elemen ini, ia menjadi kurang menarik dan mudah patah. Kualiti dan corak yang unik juga turut mempengaruhi nilainya.  


SEBAHAGIAN corak unik parang Limbang. - Foto Khalid Latip

"Bagi saya, penghasilan Parang Limbang memerlukan kreativiti tinggi. Lekuk pada sarungnya adalah sebahagian daripada identitinya. Ia mesti diukir sekata. Untuk menjadikannya lebih menarik, ulu dan sarung diperbuat daripada cantuman kayu yang disusun mengikut corak," katanya.

Daud berkata, suatu ketika dahulu Parang Limbang pernah berperanan sebagai senjata mempertahankan diri daripada musuh namun, hari ini kebanyakan pelanggan membelinya untuk dijadikan cenderamata.

Walaupun sebahagian besar pelanggan menjadikannya sebagai perhiasan, namun ada juga yang memilihnya kerana mengikut fungsi parang berkenaan.

"Setiap fungsi parang juga akan mempengaruhi bentuk matanya, contohnya untuk menebas, ringan, panjang dan nipis berbanding pemotong daging yang lebih tajam, lebar, tebal dan berat," katanya.

Beliau berkata, besi digunakan untuk menghasilkan parang itu mesti mudah dilebur, manakala kayu malam pula sesuai untuk sarung dan ulu kerana tahan lama dan senang diukir.


PENGHASILAN parang perlu kemahiran. - Foto Khalid Latip

"Pada zaman dahulu, parang ini bersaiz agak panjang tetapi hari ini lebih pendek. 

"Parang Limbang untuk hiasan atau cenderamata dijual pada harga antara RM200 ke atas bergantung  kualiti dan hiasan yang terdapat pada parang.

"Hari ini, kami boleh berbangga kerana parang Limbang semakin dikenali bukan hanya di Limbang tetapi juga Brunei Darussalam, Sabah dan Semenanjung. Malah, ada yang sanggup membuat tempahan dari jauh semata-mata mahu mendapatkan parang ini," katanya.

Walaupun parang itu masih mendapat permintaan tinggi, Daud mengakui menyimpan perasaan bimbang berikutan kurangnya minat generasi muda terhadap seni pembuatan senjata tradisional berkenaan.

"Ini kerana, kebolehan membuat senjata ini hanya dimiliki oleh mereka yang benar-benar berminat. Justeru, saya berharap usaha dilakukan kerajaan bagi melindungi warisan seni ini supaya terus terpelihara dan diwarisi generasi masa depan.

"Bagi saya, ia masih menjadi simbol budaya yang penting bagi kaum pribumi, khususnya penduduk di wilayah utara Bumi Kenyalang, " tegasnya.

113 dibaca
Berita Harian X