Sabtu, 29 Ogos 2015 | 9:24pm

Silat Cekak Pusaka Hanafi cipta Guinness World Records


MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin meraikan kejayan pasukan Silat Cekak Pusaka Hanafi kerana berjaya melakar nama di dalam Guinness World Records di Stadium Merdeka hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pencak silat Malaysia melakar nama di persada dunia apabila Silat Cekak Pusaka Hanafi mencipta rekod dalam Guinness World Records hari ini, dengan rekod penyertaan paling ramai.

Rekod 'Largest Silat Lesson' dengan penyertaan sebanyak 12,393 pesilat dari seluruh Malaysia yang diadakan di Stadium Merdeka di sini, telah melakar sejarah sekali gus memartabatkan seni pencak silat negara.

Pewaris Mutlak Silat Cekak Pusaka Hanafi, Dr Md Radzi Hanafi, berkata perancangan yang mengambil masa enam tahun bagi persatuan itu untuk menempah nama dalam Guinness World Record, akhirnya membuahkan hasil.

Beliau berkata, biarpun pelbagai cabaran perlu ditempuh dalam merancang acara itu agar ia berlangsung dengan jayanya, ia tidak pernah melemahkan semangat beliau untuk merealisasikannya.

"Kami amat berbangga dengan pencapaian hari ini kerana ia menunjukkan bahawa silat masih lagi relevan dalam kehidupan moden.

"Kalau kita lihat, rata-rata pesilat yang turut menjayakan acara hari ini adalah golongan remaja dan belia," katanya.

Dalam usaha mencipta rekod baharu itu, Md Radzi berkata Guinness World Records telah menetapkan pelbagai syarat ketat dan perlu dipatuhi.

Antaranya segala pergerakan harus dilakukan dengan serentak dalam tempoh sekurang-kurangnya 30 minit dengan alunan muzik tradisional yang perlu dimainkan secara langsung.

Kejayaan rekod baharu itu turut disaksikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Khairy yang juga Ketua Pemuda UMNO berkata, kejayaan itu adalah simbol keagungan bangsa Melayu dan lambang kekuatan negara.

"Kejayaan ini bukan hanya kejayaan persatuan tetapi kejayaan memartabatkan seni silat, kejayaan untuk bangsa Melayu dan kejayaan buat negara," katanya.

Sementara itu, wakil rasmi Guinness World Records, Fortune Burke, ketika ditemui berkata, pencapaian yang diraih hari ini harus dibanggakan kerana bukan mudah bagi mana-mana pihak memahat nama dalam rekod dunia.

"Sebenarnya amat sukar mencipta rekod dalam Guinness World Records, dengan penyertaan yang ramai, malah kami perlu ada syarikat audit profesional bagi mengesahkan jumlah ini, itu menunjukkan betapa ketatnya (syarat) kami," katanya.

Selain menyasarkan untuk mencipta rekod dunia, kejayaan itu juga adalah bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2015 dan juga sambutan 50 tahun seni silat cekak di negara ini.

- BERNAMA

Berita Harian X