Jumaat, 28 Ogos 2015 | 12:05am

Batu nisan bukti Pahang negeri terawal terima Islam


PENEMUAN batu nisan di Kampung Permatang Pasir, Pekan, Pahang, sepatutnya menjadi satu sejarah berharga kerana ia membuktikan Pahang adalah negeri paling awal menerima kedatangan Islam.

Batu nisan yang ditemui penduduk di Kampung Permatang Pasir pada Jun 1953 menunjukkan kedatangan Islam di Pahang adalah pada sekitar 419 hijrah bersamaan 1028 Masihi atau lebih awal daripada itu berdasarkan tulisan Khat Thulus, yang menyatakan tarikh kematian individu tidak dikenali itu adalah pada waktu Subuh hari Rabu 14 hari bulan Rabi'ul Awal tahun 419 hijrah.

Tarikh itu jauh lebih awal berbanding kedatangan Islam di Terengganu iaitu pada 702 hijrah bersamaan 1,303 Masihi berdasarkan tulisan pada Batu Bersurat ditemui di Kuala Berang, Terengganu.

Bagaimanapun penemuan batu nisan yang diceritakan penduduk kepada budayawan, Datuk Zakaria Hitam dan perkara berkenaan yang terkandung dalam tulisan Menteri Besar Pahang pertama, Datuk Sir Mahmud Mat, berjudul 'Two Unidentified Muslim Graves At Kampung Permatang Pasir Pekan District Pahang' dalam buku The Malayan Historical Journal Vol 2, seolah-olah dibiar ditelan zaman.

Ditemui BH baru-baru ini, bekas Kurator/Setiausaha Lembaga Muzium Pahang, Datuk Mohd Mokhtar Abu Bakar, berkata pada mulanya tarikh tertera pada batu nisan berkenaan disangkakan 914 hijrah bersama 1512 masihi.


BATU nisan yang ditemui di Kampung Permatang Pasir, Pekan, Pahang, bertarikh 419 Hijrah atau 1028 Masihi.

"Tidak berpuas hati dengannya Zakaria kemudiannya memaklumkan penemuan batu nisan berkenaan kepada Lembaga Muzium Pahang dan kami memulakan kajian lanjut serta memuliharanya dalam masa sama.

"Dengan bantuan bekas Nazir Sekolah Menengah Agama Pahang, Abdul Wahab Abdullah, transkripsi pada batu nisan berkenaan menunjukkan tarikhnya adalah 419 hijrah bersamaan 1028 Masih dan pengesahan mengenainya dibuat pada penghujung tahun 1970-an.

"Ia kemudiannya dirujuk kepada Pensyarah Bahasa Arab Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ismail Ariffin," katanya.

Batu nisan berkenaan dipamerkan pada Seminar Ulama Pahang Kedua di Dewan Bandaran Kuantan pada 6 Ogos 1980 dan sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Ketika masih dalam perkhidmatan, Mohd Mokhtar berkata, beliau ada mempelawa pelbagai pihak untuk membuat kajian lanjut mengenai batu nisan berkenaan tetapi sambutannya amat mengecewakan.

"Mungkin mereka ragu-ragu dan terpengaruh dengan Baru Bersurat di Kuala Berang, Terengganu, yang dikatakan lebih tua dan autentik.

"Batu nisan ini juga ada dipamerkan di Balai Pameran Sejarah Muzium Sultan Abu Bakar (Pekan), yang turut dilengkapi transkripsi serta kenyataan tetapi tidak ramai pelawat tertarik untuk mengambil berat," katanya yang meluahkan rasa kecewa dengan keadaan itu.

Katanya, penemuan itu terbiar begitu sahaja selepas itu sebelum bekas Dekan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemasyarakatan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Allahyarham Prof Dr Abd Jalil Borhan menemuinya dan menyatakan minat untuk membuat kajian.

"Saya sempat berseloroh dengan beliau dengan bertanya mana satu lebih 'tua'. Adakah Khat Thulus (tertulis pada batu nisan ditemui di Kampung Permatang Pasir) atau tulisan jawi (tertulis pada Batu Bersurat di Kuala Berang)? Beliau menjawab sudah tentu bahasa Arab Khat Thulus, itu pun sudah membuktikan sesuatu.


BEKAS Kurator/Setiausaha Lembaga Muzium Pahang, Datuk Mohd Mokhtar Abu Bakar. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Saya gembira kerana UMP akhirnya mahu mengambil inisiatif membuat kajian mengenainya supaya perkara ini dapat dihebahkan kepada masyarakat untuk dihargai. Pada masa sama, mereka turut berusaha menjadikannya 'Kursi Pengajian Pahang Sultan Haji Ahmad Shah'," katanya.

Mohd Mokhtar turut menggesa pihak berkaitan supaya membantu usaha untuk mengkaji batu nisan berkenaan dan memulihara kawasan penemuan itu supaya ia lebih dihargai serta tidak dibiarkan ditelan zaman.

 "Ini bukan soal hendak bertanding negeri mana yang menerima Islam paling awal tetapi satu sejarah yang perlu diberitahu kepada orang ramai," katanya.

Hasil kajian Allahyarham Prof Abd Jalil dibukukan dengan judul 'Islam di Pahang' dan sejak itu, usaha memulihara tapak penemuan batu nisan itu dilakukan dengan kerjasama Lembaga Muzium Pahang serta Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP).

Pensyarah Kanan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemasyarakatan UMP, Dr Mohamad Hilmi Mat Said, yang mengetuai pasukan itu selepas Abd Jalil meninggal dunia pada November tahun lalu berkata, pihaknya kini dalam proses untuk membangunkan kawasan perkuburan Kampung Permatang Pasir sebagai pusat tarikan pelancong.

"Hasrat Allahyarham (Abd Jalil) adalah mahukan supaya kawasan berkenaan menjadi pusat tarikan pelancong seperti di Kuala Berang (tapak penemuan Batu Bersurat). Kita akan cuba merealisasikan hasrat arwah.

 


MOHD Mokhtar menunjukkan gambar batu nisan yang ditemui di Kampung Permatang Pasir. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Allahyarham amat bersemangat ketika memulakan kajian yang mengesahkan Pahang adalah negeri paling awal menerima kedatangan Islam di Pahang dan sudah ada cadangan untuk menjadikannya sebagai 'Kursi Pengajian Pahang Sultan Haji Ahmad Shah'.

"Allahyarham mahu perkara berkenaan dikongsi dan dihebahkan kepada seberapa ramai orang kerana ini adalah satu sejarah yang amat berharga untuk Pahang," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Hilmi berkata, pihaknya kini dalam proses berbincang dengan kontraktor untuk membangunkan tapak perkuburan di tapak itu dan mencari reka bentuk sesuai untuk menggambarkan kedatangan Islam pada waktu itu.

"Mengenai tarikh kedatangan Islam di Pahang ia sudah disahkan dan kita mahu mencari reka bentuk sesuai untuk membangunkannya. Kita akan mengambil nasihat daripada pelbagai pihak, termasuk bekas Kurator/Setiausaha Lembaga Muzium Pahang, Datuk Mohd Mokhtar Abu Bakar.

"Kita akan melakukannya dengan segera supaya hasrat Allahyarham Prof Abd Jalil dapat direalisasikan walaupun dia tidak sempat melihatnya. Malah, sebelum pemergiannya kita sempat menjalankan projek pembersihan di kawasan itu," katanya.


PENSYARAH Pengajian Islam Jabatan Sains Kemanusiaan Universiti Malaysia Pahang, Mi Mat Said menunjukkan lokasi penemuan batu nisan yang berkait rapat dengan perkembangan islam di Pahang, di Kampung Permatang Pasir, Pekan. - Foto Farizul Hafiz Awang

INFO

  • Kampung Permatang Pasir, Pekan, Pahang mula diteroka dan dibuka pada sekitar tahun 1910-1911;

  • Ketika menebas dan membakar hutan, ada satu kawasan tidak terbakar dan pemeriksaan mendapati ia adalah kawasan tanah perkuburan;

  • Ketika itu, mereka menemui batu nisan tetapi tidak mempedulikannya dan meninggalkan kawasan tanah perkuburan berkenaan;

  • Penduduk kampung menemui batu nisan tertulis ayat al-Quran dan syair bahasa Arab menggunakan Khat Thulus ketika mereka sedang menggali kubur bagi mengebumikan jenazah seorang kanak-kanak perempuan pada Jun 1953;

  • Kekayaan Pahang dengan hasil mineral seperti bijih timah mungkin menarik perhatian pedagang dari Arab untuk berdagang serta menjadikan negeri itu pusat perkembangan Islam;

  • Bukti lain kemasyhuran Pahang sebagai sebuah negeri Islam terawal di nusantara ini adalah ia pernah dikunjungi cendekiawan agama seperti Mufti Besar Aceh, Syeikh Nurudin Ar-Raniri, yang melawat ke Lubuk Pelang, Jerantut;

  • Lubuk Pelang adalah sebuah pusat pendidikan Islam bercorak tasawuf terkenal di Pantai Timur dan menempatkan makam bekas Sultan Pahang kedua iaitu Raja Ahmad Sultan Mansur Shah yang membawa gelaran Sultan Ahmad Shah.
  • 224 dibaca
    Berita Harian X