Jumaat, 28 Ogos 2015 | 12:01am
RAWATAN Platelet Rich Plasma (PRP) juga digunakan untuk masalah melasma.

Rawatan melasma

USIA saya sudah mencecah 42 tahun. Lebih merunsingkan bintik hitam semakin ketara pada kedua-dua belah pipi.

Apakah rawatan terbaik menghilangkannya?

Suraya Ismail
Shah Alam, Selangor

Apa yang sebenarnya menyebabkan wajah kelihatan tua? Cuba lihat gambar semasa kita muda kemudian bandingkan dengan wajah sekarang. Dua perubahan paling ketara yang boleh membuat wajah nampak lebih tua ialah penambahan kedutan pada muka.

Bagaimanapun, antara masalah utama menyumbang wajah tampak berusia ialah disebabkan oleh kemunculan melasma atau juga dipanggil jeragat atau pigmentasi.

Semua masalah itu boleh dirawat dengan kaedah tertentu terutama dalam kalangan wanita berusia 30-an ke atas.

Apakah itu melasma? Ia adalah longgokan pigmen kulit sama ada di lapisan epidermis (lapisan atas), dermis (lapisan bawah kulit) atau kedua-duanya.

Setakat ini tiada barangan kosmetik atau barangan penjagaan kulit di pasaran yang boleh merawat melasma.

Ada beberapa perkara yang dikaitkan dengan melasma antaranya iaitu kehamilan, pil perancang dan pil gantian hormon menopaus.

Melasma hilang dengan sendiri beberapa bulan selepas kelahiran atau apabila seseorang berhenti mengambil pil hormon.

Faktor lain yang menyebabkan melasma ialah pendedahan kepada sinaran cahaya lembayung unggu (UV) yang kronik atau komplikasi akibat salah penggunaan bahan kosmetik.

Melasma yang disebabkan kedua-dua faktor itu agak sukar dirawat.

Sebilangan besar kes melasma adalah disebabkan tiada perlindungan kulit muka terhadap sinaran UV matahari.

Jika anda mempunyai melasma, penggunaan krim pelindung matahari tidak boleh membantu menghilangkannya. Ia hanya boleh mengelakkan melasma merebak walaupun krim yang digunakan itu mengandungi bahan pencerah.

Masalah melasma hanya boleh dirawat oleh doktor pakar kulit atau doktor estetik.


RAWATAN laser boleh merangsang kulit untuk menghasilkan kolagen.

Jika anda mempunyai masalah melasma, janganlah membuang masa dan wang membuat rawatan cucian muka kerana tanpa rawatan profesional, masalah anda tidak boleh di atasi sepenuhnya. Setakat ini, belum ada lagi bahan kosmetik atau krim penjagaan kulit di pasaran yang boleh merawat melasma.

Jenis melasma

Untuk mengenal pasti kewujudan melasma sama ada dari jenis epidermal, dermal atau campuran, ia hanya boleh dilakukan oleh doktor estetik menerusi ujian woodlights.

Apabila kulit disinari dengan lampu woodlights, doktor akan dapat membezakan sama ada melasma anda adalah jenis di permukaan kulit dalam kulit atau kedua-duanya.

Untuk merawat melasma jenis epidermal (lapisan atas) kulit, antaranya, dengan melakukan chemical peeling dan merawat dengan krim hydroquinone serta tretinoine.

Kedua-dua bahan itu adalah bahan aktif berjadual dan hanya boleh digunakan dengan pengawasan doktor.

Di klinik estetik, doktor juga boleh merawatnya dengan rawatan Intense Pulse Light atau rawatan laser.

Kebanyakan melasma yang dialami oleh wanita adalah jenis dermal (lapisan bawah) kulit atau melasma campuran (epidermal dan dermal) kulit. Melasma jenis ini sangat degil dan susah dirawat kerana kedudukannya di bawah kulit.

Untuk merawat masalah melasma jenis dermal atau campuran agak sukar. Rawatan menggunakan hydroquinone dan tretinoine tidak dapat menghilangkannya. Masalah melasma jenis campuran ini hanya berkesan dengan rawatan laser Q Switched Nd:Yag.

Sesi beberapa rawatan

Secara umumnya, individu perlu menjalani 10 hingga 12 sesi rawatan laser untuk mendapatkan hasil yang memuaskan. Laser ini berkesan dengan 'menghancurkan' pigmentasi hitam.

Pigmentasi yang hancur akan diserap perlahan-lahan oleh badan. Proses menghancurkan pigmentasi perlu dilakukan berperingkat-peringkat agar tiada kesan sampingan ke atas kulit akibat rawatan laser.


RAWATAN laser Q Switched boleh menyerap lapisan dalam kulit dan memecahkan pigmen tanpa merosakkan lapisan atas kulit.

Kelebihan rawatan laser ia boleh meresap jauh ke lapisan dermis kulit. Hanya laser Q Switched sahaja yang boleh menyerap lapisan dalam kulit dan memecahkan pigmen tanpa merosakkan lapisan atas kulit.

Selain merawat melasma, rawatan yang berulang juga boleh merangsang kulit untuk menghasilkan kolagen. Peningkatan kandungan kolagen pada lapisan kulit boleh menghilangkan atau mengurangkan garis-garis halus dan mengecilkan pori muka.

Memudarkan pigmen melasma

Selain itu, rawatan Platelet Rich Plasma (PRP) juga boleh digunakan untuk masalah melasma. Rawatan PRP yang kaya dengan stem sel semula jadi yang di proses daripada darah sendiri membantu merangsang kolagen dan elastin baharu dan memudarkan pigmen melasma. Rawatan ini perlu dilakukan beberapa sesi untuk menampakkan hasilnya bergantung pada melasma individu. Justeru, mereka perlu memakai krim pelindung UV khususnya di negara yang cuaca di negara ini sentiasa panas.

Krim pelindung UV sepatutnya digunakan sejak remaja.

Jika anda menggunakannya dari muda, ia bukan sahaja boleh mengelak masalah pigmentasi pada hari tua, malah mengekalkan kandungan kolagen daripada dirosakkan oleh UV matahari. Kandungan kolagen yang tinggi pada kulit muka boleh melambatkan proses penuaan wajah. Untuk kulit wanita Asia dan keadaan matahari yang terik di Malaysia, disarankan mengunakan krim pelindung UV dengan SPF 50 dan ke atas.

Berita Harian X