Khamis, 27 Ogos 2015 | 1:26pm

Pelajar Tingkatan Satu ditemui lemas

IPOH: Seorang pelajar Tingkatan Satu yang dilaporkan hilang bersama abangnya di sebuah lombong berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wan Hwa 2 di Taman Rasi Jaya, Mengelembu, di sini, semalam, ditemui lemas pagi tadi.

Mayat Lee Poh Sun,14, ditemui kira- kira jam 11.20 pagi tadi selepas mayat abangnya Lee Poh Wei,16, berjaya ditemui jam 5.56 petang semalam.

Kedua-dua beradik itu dipercayai pergi ke lombong berkenaan bersama seorang lagi rakan mereka untuk memancing sebelum kedua-dua mereka difahamkan lemas ketika mandi di lombong itu.

Pegawai Kanan Bomba 2 Unit Pasukan Penyelam Di Air (PPDA), Mohd Mahir Mat Saad berkata, bomba memberhentikan operasi jam 12.40 tengah hari tadi selepas kedua-dua mayat itu berjaya ditemui.

"Mayat Poh Wei ditemui semalam kira-kira 15 meter dari lokasi kejadian manakala Poh Sun ditemui kira-kira 12 meter dari lokasi abangnya ditemui dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Berita Harian X