Rabu, 26 Ogos 2015 | 6:53pm

Dua beradik dipercayai lemas terjatuh dalam lombong

IPOH: Dua beradik lelaki dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam lombong berhampiran Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Wan Hwa 2, Taman Rasi, Menglembu, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, Lee Poh Sun, 14 dan Lee Poh Wei, 16, bersama seorang lagi rakan dipercayai memancing bersama sebelum mangsa terjatuh ke dalam lombong berkenaan.

Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Penguasa Kanan Bomba 1 Ruhisha Haris, berkata seramai 15 anggota bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 2.30 petang tadi.

"Operasi turut dibantu empat anggota dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi membolehkan pencarian dilakukan di dasar lombong berkenaan.

"Bomba berdepan kesukaran untuk membawa turun bot disebabkan kawasan lombong terbiar yang berkeluasan kira-kira 2.4 hektar itu dikelilingi hutan semak samun," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Berita Harian X