Isnin, 24 Ogos 2015 | 3:16pm

81 termasuk 3 wanita ditahan, polis serbu sarang penagih

POKOK SENA: Seramai 81 penagih dadah termasuk tiga daripadanya wanita berusia antara 14 hingga 57 tahun ditahan polis dalam Ops Sarang Khas 2/2015 di Batu 13, Jalan Kuala Nerang, di sini, hari ini.

Operasi itu dilaksanakan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Timbalan Komander STING Bukit Aman, Datuk Abd Jalil Hassan, berkata serbuan selama dua hari dan bermula jam 4 petang semalam, dijalankan hasil maklumat awam dan penduduk kampung bagi membanteras sarang penagihan di kawasan itu.

Katanya, siasatan awal polis mendapati enam sarang penagih dikenal pasti dan yakin dengan kerjasama daripada pelbagai agensi serta orang awam mampu menutup semua sarang yang membekalkan dadah kepada penagih di sekitar kawasan Pokok Sena dan kampung berdekatan.

"Kebanyakan penagih menjadikan kawasan ini (Pokok Sena) sebagai tempat 'centralized' untuk mendapatkan bekalan dadah selain melepaskan gian dan semua sarang berkenaan dipercayai aktif sejak satu hingga dua bulan lalu.

"Sepanjang dua hari operasi dijalankan kita merampas sebanyak 9.66 gram dadah dipercayai heroin; syabu (2.27 hram); ganja (1.30 gram); daun ketum (2,000 gram) dan air ketum (2 liter)," katanya.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah untuk tindakan lanjut

12 dibaca
Berita Harian X