Sabtu, 22 Ogos 2015 | 8:33pm

EPL: Man United, Newcastle tanpa jaringan di babak pertama


PEMAIN Newcastle United, Aleksandar Mitrovic beraksi didepan gol pihak lawan. - Foto Reuters

MANCHESTER: Tiada jaringan berjaya dijaringkan Manchester United sekalipun rentetan serangan dijana ke kubu Newcastle menyaksikan perlawanan separuh masa pertama di Old Trafford berakhir tanpa jaringan.

Tampil bertenaga selepas mencatat kemenangan pada dua perlawanan awal, Man United yang dibimbing Louis van Gaal tampak garang sejurus wisel permainan dimulakan.

Gawang Newcastle yang dikemudi Tim Krul diuji seawal minit ketiga permainan menerusi Memphis Depay namun rembatan kaki kanannya ke kiri gawang mudah diselamatkan.

Ia diikuti percubaan Wayne Rooney yang dibantu lorongan Bastian Schweinsteiger pada minit ke-18 namun Krul sekali lagi menyelamatkan keadaan.

Man United terus mengancam gawang Newcastle namun beberapa cubaan termasuk Depay dan Juan Mata gagal menghasilkan gol.

Peluang terbaik Newcastle hadir menerusi Aleksandar Mitrovic pada minit ke-22 namun tandukannya terkena palang.

Permainan tambah sengit namun tiada gol berjaya dijaringkan sehingga wisel ditiupkan.

Ketika menuju terowong persalinan, wajah pengendali Louis van Gaal nampak tegang seakan kurang berpuas hati dengan aksi pasukannya.

Man United mencatat kemenangan tipis 1-0 pada kedua-dua perlawanan awal bertemu Tottenham Hotspurs dan Aston Villa dengan Newcastle masih gagal memburu kemenangan.

Kesebelasan utama:

- MAN UNITED: Sergio Romero, Chris Smalling, Daley Blind, Luke Shaw, Matteo Darmian, Memphis Depay, Juan Mata, Adnan Januzaj, Morgan Schneiderlin, Bastian Schweinsteiger, Wayne Rooney

- NEWCASTLE: Tim Krul, Fabricio Coloccini, Chancel Mbemba, Massadio Haidara, Steven Taylor, Jack Colback, Georginio Wijnaldum, Vurnon Anita, Gabriel Obertan, Ayoze Pérez, Aleksandar Mitrovic

Berita Harian X