Sabtu, 22 Ogos 2015 | 12:01am

Cita rasa Melayu asli dalam suasana santai

mshaiful@bh.com.my


PELBAGAI menu menarik disediakan di D'Saji KL Titiwangsa.

TIDAK perlu lagi berpusu-pusu di kawasan makan, pasar malam dan menghadap kesesakan lalu lintas semata-mata mahu mendapatkan masakan Melayu asli, kini satu lokasi boleh dituju untuk memuaskan selera.

D'Saji KL Titiwangsa boleh dijadikan boleh dijadikan lokasi menjamu selera bagi penggemar masakan Melayu asli turun temurun.

Menu seperti masak lemak daging salai, tempoyak pucuk ubi kayu, masak lemak telur itik, asam pedas dan bermacam-macam lagi, semuanya boleh dinikmati di restoran ini dengan suasana yang selesai dan santai.

Restoran ini terletak dalam kawasan tasik rekreasi popular di ibu kota iaitu Taman Tasik Titiwangsa, turut mensasarkan pelancong supaya mencuba dan merasai sendiri makanan asas masyarakat Malaysia.

Bahkan kewujudan restoran ini sekurang-kurangnya dapat mengangkat masakan atau makanan Melayu tradisi ke taraf semakin eksklusif.

Selepas membuat pengubahsuaian membabitkan kos sebanyak RM8 juta, bangunan tinggalan Restoran Terapung Titiwangsa sejak empat tahun lalu diberi sentuhan tradisional bagi memberi pengalaman makan paling sempurna setakat ini.


D'Saji KL Titiwangsa menepati kehendak penggemar masakan Melayu asli turun temurun.

Ketua Pegawai Operasi D'Saji Ventures Sdn Bhd, Shariffudin Ibrahim berkata, pihaknya mahu warga luar khususnya pelancong yang berkunjung ke Malaysia mengenali makanan Malaysia dengan lebih dekat.

Katanya, adalah bagus jika masa diperuntukkan oleh pelancong ketika melawat Malaysia atau pelancong tempatan yang berkunjung ke Kuala Lumpur, digunakan sebaik-baiknya dengan mencuba makanan yang sukar didapati di tempat sendiri.

"Jika kita lihat restoran yang memfokuskan masakan Melayu juga sudah hilang ditelan zaman sedikit demi sedikit. Ia menyukarkan pelancong untuk meneroka keenakan makanan tradisional di Malaysia.

"Nama restoran juga dipilih mengikut kesesuaian bagi memberi sebutan ala tradisional supaya pelancong luar negara tahu apa keistimewaan yang ada pada Malaysia," katanya.

Beliau berkata, semua menu yang diperkenalkan di D'Saji KL Titiwangsa memfokuskan masakan Melayu namun masih ada hidangan ala barat supaya menghasilkan kepelbagaian.

"Kita menyediakan menu popular di Malaysia seperti masak lemak daging salai, aneka hidangan telur itik, tempoyak ubi kayu dan bermacam lagi.

"Harga ini adalah bersesuaian untuk semua berbanding yang ditawarkan lokasi lain jauh lebih mahal," katanya.

 

Pengalaman makan menyeronokkan


PENGUNJUNG boleh menjamu selera sambil berhibur dengan persembahan tarian dan nyanyian di D'Saji KL Titiwangsa. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Membina restoran di atas tasik, Shariffudin berkata lokasi itu adalah paling strategik untuk keadaan cuaca di negara kita pada masa ini.

"Pengunjung dapat menjamu selera dengan aman kerana suasana tenang tasik yang mendamaikan mampu memberi ketenteraman dan keasyikan ketika makan.

"Pada waktu malam pula cuaca sejuk menemani mereka kerana dapat merasai kelembapan kawasan tasik memandangkan restoran ini dibina secara terbuka," katanya.

Bukan itu saja, mereka yang menjamu selera pada waktu malam akan dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dari kumpulan terlatih yang dijemput khas memeriahkan suasana.

"Banyak persembahan menghiburkan seperti tarian dan nyanyian daripada etnik di Malaysia pastinya memberi keseronokan kepada pengunjung ketika menjamu selera.

"Kami mahu menarik ramai lagi pelancong untuk mempromosikan masakan Melayu dan cuba bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia supaya memenuhi kalendar aktiviti mereka sepanjang tahun ini," katanya.

42 dibaca
Berita Harian X