Jumaat, 21 Ogos 2015 | 12:02am
PEMAIN Harimau Muda A, Thamil Arasu (9) menjadi penjaring gol tunggal negara dalam perlawanan Pestabola Merdeka ke-41 menentang Singapura di Stadium Darul Makmur Kuantan pada 7 September 2013. - Foto Hasriyasyah Sabudin.
PEMAIN tengah negara, Malek Rahman tersenyum puas menjulang piala kejuaraan Pestabola Merdeka pada 16 Februari 1993.
PENYERANG, Azman Adnan mengawal bola sambil dicabar pemain Singapura, Malek Awab (kanan) dan Amin Nasir pada perlawanan Pestabola Merdeka 6 Februari 1993.
BEKAS pemain kebangsaan dan Kedah, Mohd Nizam Adzha Yusof (kanan) menjalani latihan bersama rakan sepasukan, Shamsurin Abd Rahman ketika latihan menjelang Pestabola Merdeka dan perlawanan persahabatan menentang Manchester United.

Kembalikan kegemilangan Pestabola Merdeka

JUARA Pestabola Merdeka 1958 yang turut diwakili oleh Robert Choe Kim Chwee (tiga dari kiri). - Foto emel

NOSTALGIA era 1970an dan 1980an mengimbau kembali zaman kegemilangan nama-nama besar bola sepak Malaysia beraksi di Stadium Merdeka dalam beberapa kejohanan peringkat antarabangsa. Antaranya ialah Pestabola Merdeka, kejohanan yang paling hebat Asia pada ketika itu.

Pestabola Merdeka dimulakan pada 31 Ogos 1957 dan dilancarkan oleh Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman sempena Hari Kemerdekaan negara. Sejak dari tarikh itu, kejohanan ini telah diadakan saban tahun sehingga 1988.

Pertandingan yang paling elit di Asia ini (pada zaman itu), sentiasa menjadi pentas persaingan yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat bola sepak negara, mengalahkan pertandingan Piala Dunia. Tiada ruang tempat duduk kosong di sepanjang kejohanan berlangsung apatah lagi perlawanan yang membabitkan pasukan negara.

BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Abdullah Ali (kiri) beraksi semasa Pestabola Merdeka 1980.

Kejohanan yang diiktiraf sebagai pertandingan bola sepak yang tertua di Asia ini juga sering kali berjaya menghimpunkan pasukan hebat dunia seperti Ghana, Senegal, Jepun, Iran, Arab Saudi, China, Korea Selatan, Czechoslavakia, Magribi, Algeria serta pasukan muda Argentina, Republik Soviet (kini Russia), Bulgaria dan semua pasukan Asia Tenggara.

Keterujaan peminat

Kejohanan kebanggaan Malaysia ini turut menjadi pentas buat kelab-kelab elit Amerika Selatan seperti Sao Paolo, Amerika RJ, Primera B, Santa Catarina dan Minas Gerais bersaing hebat dengan kelab yang berpangkalan di Eropah seperti SV Hamburg, SK Admira Wacker, FC Tirol dan Budapest Vasas SC.

Namun, yang paling penting ialah keterujaan peminat bola sepak tempatan lebih mendorong kepada `ketagihan' untuk melihat aksi pemain kebangsaan bersaing menentang pasukan-pasukan hebat ini.

DATUK Harun Idris, pengurus pasukan Malaysia menjulang piala kejuaraan Pestabola Merdeka bersama jurulatih, Abdul Ghani Minhat (kanan) dan Soh Chin Aun (dua dari kiri) pada 12 Ogos 1973.

Kegemilangan Pestabola Merdeka sinonim dengan nama besar bola sepak negara seperti Abdul Ghani Minhat, Santokh Singh, Soh Chin Aun, James Wong, Hassan Sani, M Chandran, mendiang R Arumugam dan Alahyarham Mokhtar Dahari.

Di samping itu, Malaysia juga pernah membayar legenda bola sepak England, Kevin Keegan untuk menjadi jurulatih sementara dan beraksi untuk pasukan Malaysia B pada edisi ke 28, tahun 1984.

Selain Kevin, Edson Ribeira, Jose Antonio Casagrande (Minas Geiras), Shin Yeon Ho, Kim Jong Bo (Korea Selatan B23) dan Zainal Abidin Hassan serta Azizul Abu Hanifah adalah bintang dalam edisi itu. Begitulah hebatnya Pestabola Merdeka pada ketika itu.

Bagaimanapun, kemeriahan kejohanan kebanggaan Malaysia itu akhirnya diberhentikan selepas 1988 apabila banyak pasukan Asia memberi lebih tumpuan kepada Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia. Keunggulan Pestabola Merdeka tenggelam selepas itu. Hanya sembilan kejohanan sahaja yang dapat diadakan selepas 1989 hingga ke hari ini.

HARIMAU Muda A muncul juara Pestabola Merdeka benam Myammar 2-0 di Stadium Darul Makmur Kuantan pada 14 September 2013. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Sejarah Pestabola Merdeka telah membuktikan bahawa ia mampu menjadi pentas penarik penyokong bola sepak negara kembali ke stadium. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya berusaha keras untuk mencari penaja menghidupkan kembali pertandingan ini. Jangan biar nostalgia ini mati begitu sahaja.

FAM boleh cari penaja

Mungkin sebagai ganti, FAM boleh mencari penaja untuk menjadikan ia sebagai satu pertandingan Bolasepak Kelab Antarabangsa yang mungkin akan menarik perhatian kelab-kelab besar Eropah yang tidak meminta bayaran 'Appearance Fee' sebagai platform untuk menyiapkan pasukan menghadapi musim baharu.

Kejohanan ini juga boleh dijadikan medan pendedahan buat skuad pelapis negara beraksi bersama pemain-pemain berpengalaman negara lain. FAM harus pro aktif untuk tidak melihat aspek meraih keuntungan semata-mata. Pasti ada ramai syarikat besar yang akan bersetuju untuk menjadi penaja.

Kembalikan kegemilangan Pestabola Merdeka agar terus menjadi bahan cerita bola sepak yang sedap didengar zaman berzaman.

Berita Harian X