Khamis, 20 Ogos 2015 | 6:23pm

Pasaran getah ditutup rendah

KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan harga minyak yang terus meyusut, kata peniaga.

Seorang peniaga berkata, bagaimanapun, ringgit yang lebih lemah telah membantu membendung kejatuhan berterusan harga getah.

Menurut laporan berita, minyak mentah diniagakan sekitar AS$40 dan harganya boleh jatuh di bawah AS$40 kerana terdapat bekalan global yang banyak serta penurunan dalam permintaan oleh China.

Pada tengah hari, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 susut sebanyak empat sen kepada 524 sen sekilogram dan lateks pukal turun sebanyak 1.5 sen kepada 421.50 sen sekilogram.

Sementara itu, harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 jatuh sebanyak 2.5 sen kepada 524.50 sen sekilogram manakala lateks pukal susut sebanyak 1.5 sen kepada 421 sen sekilogram.

- BERNAMA

Berita Harian X