Khamis, 20 Ogos 2015 | 5:04pm

La Liga: Lima perpindahan berprofil tinggi 2015/16

MADRID: Berikut adalah lima perpindahan pemain berprofil tinggi di saingan La Liga Sepanyol menjelang kempen pembuka tirai musim 2015/16, Sabtu ini.

ARDA TURAN

- Atletico Madrid ke Barcelona

- Nilai perpindahan: 34 juta euro (RM156.3 juta)

LARANGAN terhadap Barcelona untuk mendapatkan pemain baharu tidak menghalang juara Eropah itu berbelanja besar bagi mendapatkan Turan. Pemain antarabangsa Turki itu tidak akan bermain sehingga Januari tahun depan namun kehadirannya akan menambah kreatif Barca di bahagian tengah selepas kehilangan Xavi Hernandez.

JACKSON MARTINEZ

- Porto ke Atletico Madrid

- Nilai perpindahan: 35 juta euro (RM160.9 juta)

DUIT yang diperoleh Atletico daripada penjualan Turan dibelanjakan untuk mendapatkan penyerang berkualiti, Martinez selepas Mario Mandzukic berhijrah ke Itali bagi menyertai Juventus. Martinez meledak 92 gol daripada 136 penampilan bersama Porto termasuk tujuh dalam kempen Liga Juara musim lalu..

LUCIANO VIETTO

- Villarreal ke Atletico Madrid

- Nilai perpindahan: 20 juta euro (RM91.9 juta)

KONTRAK baharu Diego Simeone bersama Atletico menjadi penyebab utama Vietto berhijrah ke Vicente Calderon. Simeone sebelum ini memberi kepercayaan kepada penyerang berusia 21 tahun itu untuk tampil di pentas profesional buat pertama kali ketika kedua-duanya berada di kelab Argentina, Racing Club empat tahun lalu.

YEVHEN KONOPLYANKA

- Dnipro Dnipropetrovsk ke Sevilla

- Nilai perpindahan: Percuma

KONOPLYANKA menjadi ancaman utama buat Sevilla ketika final Liga Europa musim lalu. Pemain sayap Ukraine ini dianggap antara pemain berkualiti dan kehadirannya di Sepanyol boleh menjadi pembelian terbaik di La Liga musim panas ini.

SAMUEL CASTILLEJO

- Malaga ke Villarreal

- Nilai perpindahan: 16 juta euro (RM73.5 juta)

PEMBURUAN tiket ke Liga Juara cukup kompetitif dalam saingan La Liga ketika ini dan Villarreal, yang beraksi buat musim ke empat dalam saingan elit Eropah itu berharap untuk meneruskan legasi itu. Castillejo dianggap antara prospek terbaik La Liga mampu memberi cabaran baharu kepada kelab itu.

- AFP

Berita Harian X