Khamis, 20 Ogos 2015 | 2:16pm
PENGERUSI Eksekutif SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Tan Sri Rozali Ismail. - Foto Ghazali Kori

SYABAS sokong Selangor kaji semula air percuma, tarif

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) menyokong usaha kerajaan negeri Selangor mengkaji semula skim air percuma dan tarif air di Selangor.

Pengerusi Eksekutif SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd, Tan Sri Rozali Ismail, berkata penstrukturan semula ini harus dibuat oleh kerajaan negeri Selangor demi kepentingan dan kebajikan rakyat selain mengambil kira kos operasi pemprosesan dan pengagihan air terawat yang meningkat setiap tahun.

"Pada masa ini, pelarasan tarif air yang baharu telah dilaksanakan di beberapa negeri lain seperti Kedah, Sabah, Pulau Pinang dan Johor.

"Adalah amat wajar tarif air di Selangor dikaji semula bagi mengekal dan mempertingkatkan tahap kualiti perkhidmatan bekalan air terawat kepada pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rozali berkata, pengguna air domestik di Selangor tidak dikenakan bayaran untuk penggunaan air hingga 20 meter padu pertama, kerana ia ditanggung oleh kerajaan negeri Selangor.

Katanya, mengikut rekod SYABAS, jumlah kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri Selangor bagi melaksanakan skim pemberian air percuma mencecah sekitar RM120 juta setahun sejak ia dimulakan pada bulan Julai 2008.

"Saya merasakan skim ini tidak mencapai matlamat atau sasaran kerana golongan miskin yang amat memerlukan bantuan ini seolah-olah tidak diutamakan apabila golongan kaya juga menikmati faedah yang sama.

"Ini kerana masih terdapat rungutan rakyat miskin yang tidak mendapat manfaat daripada skim ini. Kadar tarif air di Selangor amat murah berbanding dengan negara jiran," katanya dalam kenyataan itu.

Rozali berkata, jumlah kos itu sepatutnya disalurkan untuk membiayai kemudahan lain bagi tujuan meringankan beban sara rakyat kurang berkemampuan di Selangor.

Berita Harian X