Khamis, 20 Ogos 2015 | 11:34am

ANGKASA mahu kembang rangkaian hotel termasuk luar negara - Fattah

 


PRESIDEN Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah. - Foto Mohd Yusni Ariffin

KOTA BHARU: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) merancang kemungkinan bagi mewujudkan rangkaian hotel koperasi di seluruh negara, termasuk di peringkat antarabangsa.

   Langkah itu sejajar agenda ANGKASA yang mahu semua koperasi di bawah naungannya memiliki atau menguasai aset serta hartanah di setiap lokasi strategik di dalam dan luar negara sebagai pelaburan berimpak tinggi.

   Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah, berkata ketika ini lebih 10 hotel dan homestay di seluruh negara yang dimiliki beberapa koperasi, termasuk MYANGKASA Resort di Langkawi.

   Katanya, terbaru sebuah hotel sembilan tingkat akan dibina syarikat United Flagship Sdn Bhd (United Flagship) dan bakal dibeli oleh koperasi untuk dijadikan rangkaian hotel koperasi.

  "Kita (ANGKASA) sedang mengambil inisiatif untuk menggabungkan semua hotel milik koperasi termasuk homestay di seluruh negara untuk dijadikan rangkaian hotel koperasi di bawah satu jenama.

   "Kita akan fikirkan satu nama sesuai seperti nama Hotel Seri Malaysia yang digunakan untuk semua hotel rangkaiannya di seluruh negara.

  "Jadi, ANGKASA juga mahu mewujudkan rangkaian hotel koperasi di bawah satu jenama bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

  Difahamkan hotel bakal dibeli oleh koperasi di Jalan Sultan Ibrahim di sini ditawarkan pada harga lebih RM100 juta menerusi Projek Perdana Oasis dan dibangunkan oleh United Flagship, syarikat yang terbabit dalam pembangunan hartanah, berpangkalan di Kuala Lumpur.

   Hotel berkenaan mempunyai kemudahan 217 bilik dan bertaraf empat bintang dijangka siap dalam tempoh tiga selepas perjanjian persefahaman (MoU) ditandatangani antara United Flagship dengan ANGKASA dalam masa terdekat.

   Abdul Fattah berkata, usaha ANGKASA untuk membentuk rangkaian hotel koperasi juga sebagai langkah menyahut saranan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin yang mahu melihat gerakan koperasi negara menjadi lebih besar dalam penyertaan pembangunan ekonomi negara bersama sektor swasta.

   "Untuk itu kita (ANGKASA) merancang untuk memiliki sekurang-kurangnya sebuah hotel di setiap negeri mulai sekarang.

   "Kita sekarang tidak mampu lagi hanya sekadar berpuas hati dengan mengusahakan makanan kerepek untuk dijual sebaliknya perlu terbabit dengan projek yang memberi impak ekonomi besar kepada koperasi dan ahlinya," katanya.

   Sementara itu, Pengerusi ANGKASA Kelantan, Datuk Che Shukri Che Isa menyifatkan usaha ANGKASA Pusat mewujudkan rangkaian hotel koperasi di seluruh negara dan peringkat antarabangsa adalah tepat pada masanya.

   Katanya, ia juga akan membuka ruang perniagaan yang lebih luas kepada seluruh koperasi termasuk memasuki fasa perniagaan hartanah yang diuruskan oleh MYANGKASA.

   "Kita berharap cadangan membeli hotel (oleh koperasi) menerusi projek Perdana Oasis yang dimajukan oleh United Flagship menjadi kenyataan dan akan menjadi satu kejayaan koperasi khususnya di Kelantan memiliki hartanah di kawasan strategik yang terletak di pusat bandar Kota Bharu," katanya.

23 dibaca
Berita Harian X