Rabu, 19 Ogos 2015 | 6:41pm

Basikal: Muhammad Shah hampa gagal tambah mata pada GP Asia Tenggara

PELUMBA negara, Mohd Azizuhasni Awang beraksi dengan rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom selepas kedua pelumba dari Thailand terjatuh dalam acara Keirin Lelaki Elit di sini, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

KUALA LUMPUR: Hasrat pelumba negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengutip mata kelayakan ke Kejohanan Piala Dunia pada Kejohanan Berbasikal Trek Grand Prix ( GP) Asia Tenggara di Velodrom Kuala Lumpur, di sini, hari ini, tidak kesampaian.

Ini berikutan kedudukan di tempat kedua dalam acara Keirin Lelaki Elit yang dicatatkannya pada saingan itu dibatalkan.

Ia selepas pengarah perlumbaan mendapati pelumba berusia 19 tahun itu dikatakan menghalang pelumba lain hingga menyebabkan pelanggaran membabitkan dua pelumba dari Thailand.

Keputusan itu membolehkan pelumba Uzbekistan, Ruslan Fedorov meraih pingat perak di belakang jaguh trek negara Mohd Azizulhasni Awang yang memenangi pingat emas.

Gangsa dimenangi pelumba Thailand, Worayut Kapunya manakala seorang lagi rakannya yang terbabit dalam pelanggaran kira-kira 50 meter sebelum garisan penamat, Pongthep Tapimay di tempat keempat.

"Pelumba Thailand cuba himpit saya ketika saya cuba hendak memotong dan kedudukan saya agak tersekat. Saya cuba beri laluan untuk dia naik sikit, tapi apabila tangan dia terkena peha saya, dia jatuh dan saya yang dipersalahkan.

"Memang saya rasa hampa sangat sebab saya sudah ada di kedudukan yang cantik (terbaik) tapi kita yang dipersalahkan dan diturunkan kedudukan. Bila saya jatuh nombor lima, mata saya jadi kurang tidak macam mata dalam kedudukan tiga teratas," kata pelumba berasal dari Muar, Johor itu.

Dalam pada itu, Muhammad Shah Firdaus berkata insiden hari ini tidak akan sesekali mematahkan semangatnya untuk mencipta kemenangan pada siri kedua kejohanan itu.

Katanya, beliau akan lebih berwaspada dengan peserta lain terutama dari Thailand dan cuba mengelakkan diri daripada berada dalam situasi yang sukar seperti hari ini.

"Sabtu ini, saya akan balas dendam. Saya akan lebih waspada dan tidak mahu tunggu, sebaliknya akan terus pecut dan keluar daripada situasi sukar lebih awal," katanya.

Sementara itu, dalam kategori wanita pula, ratu trek negara Fatehah Mustapa gah di kedudukan pertama selepas menewaskan pelumba Ireland Shanon Mc Curley manakala pelumba Thailand, Pannaray Rasee di tempat ketiga.

Seorang lagi pelumba elit wanita negara Farina Shawati Mohd Adnan, bagaimanapun gagal menyerlah dalam acara Keirin apabila sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan kelima. - BERNAMA

Berita Harian X