BEIJING: Sebastian Coe dari Britain dipilih sebagai Presiden Persekutuan Persatuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) yang baharu, di sini, sebentar tadi.
Pemenang pingat emas Olimpik 1980 dan 1984 bagi acara larian 1,500 meter itu menewaskan Sergey Bubka dalam pemilihan badan induk olahraga dunia di Pusat Konvensyen Beijing.
Coe menang dengan majoriti 23 undi selepas memperoleh sebanyak 115 undi daripada 207 ahli persatuan yang melakukan undian pada pemilihan itu.
Bubka yang juga pemenang pingat emas acara lompat galah Olimpik 1988 dan juara dunia sebanyak 10 kali, mendapat 92 undi.
Jawatan Presiden IAAF sebelum ini disandang oleh Lamine Diack, 82, dari Senegal, yang tidak mempertahankan kedudukannya selepas 16 tahun berkuasa. - AFP