Selasa, 18 Ogos 2015 | 3:09pm
PELAKON veteran Karim Latiff. - Foto Che Rani Che Din

Pelakon veteran Karim Latiff meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran Karim Latiff atau nama sebenar Abdul Karim Abdul Latiff, 78, menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.30 tengah hari tadi di Hospital Kuala Lumpur, akibat kanser.

Allahyarham dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak minggu lalu kerana sesak nafas dan kemudian dikesan menghidap kanser tahap empat.

Seorang kenalan keluarganya berkata, Allahyarham dikenal pasti menghidap barah hanya selepas pemeriksaan susulan ketika dirawat di HKL, baru-baru ini.

"Allahyarham meninggal dunia di hospital. Jenazahnya kini di bawa ke kediaman keluarga di Kampung Pasir Hulu Klang tetapi setakat ini saya belum dapat makluman mengenai perincian lain termasuk urusan pengebumiannya," katanya ketika dihubungi BH Online, tadi.

Allahyarham yang juga aktor sezaman Tan Sri P Ramlee cukup 'melekat' dengan watak Safar dalam filem Ahmad Albab arahan dan lakonan Seniman Agung itu.

Beliau berasal yang berasal dari Rembau, Negeri Sembilan berhijrah ke Studio Jalan Ampas, Singapura ketika berumur 18 tahun.

Selain menyerlah dalam filem Sumpah Pontianak, Mahsuri, Anak Bapak, Masam-masam Manis, Keluarga 69, beliau juga berbakat dalam arena seni suara.

Bekas pengalih suara di RTM itu memperlahankan kerjaya lakonan kira-kira 10 tahun lalu selepas berdepan masalah penglihatan.

Perkahwinannya dengan Che Asma Hussain yang juga bekas kakitangan RTM dikurniakan lima cahaya mata iaitu Izuddin, Izmir, Nur Iznita, Izhar dan Izralfiddin selain 10 cucu.

Berita Harian X