Selasa, 23 September 2014 | 9:24pm

Pastikan mereka yang diupah melontar faham pelaksanaan - TH

MAKKAH: Jemaah haji yang uzur untuk melontar di ketiga-tiga Jamrah di Mina yang juga antara enam perkara wajib dalam ibadah haji, perlu memastikan orang yang diwakilkan untuk melakukan ibadah itu faham mengenai pelaksanaannya.

Pengerusi Pakar Rujuk Musim Haji 1435, Datuk Seri Hassan Ahmad, berkata ini penting kerana orang yang diwakilkan atau diupah untuk melontar itu perlu melakukan semua pusingan melontar itu bagi setiap orang yang diterima upahnya, dan bukan melakukan satu lontaran untuk setiap orang yang mengupahnya.

Ibadah melontar bermula dengan melontar Jamrah Kubra yang bermula selepas separuh malam 10 Zulhijjah sehingga terbenam matahari 13 Zulhijjah, dan diikuti dengan melontar Jumrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

"Saya menasihati jemaah haji yang mahu mengupah orang lain untuk melakukannya, pilihlah mereka yang telah dikenal pasti oleh Tabung Haji (TH), dan jangan bagi kepada sebarang orang," katanya kepada media Malaysia semasa mengadakan lawatan di Pusat Rawatan Syisyah di sini.

Beliau bersama dua lagi pakar rujuk, iaitu Datuk Fadzil Awang dan Dr Anisah Abdul Ghani yang diiringi Pengarah Operasi Bimbingan Haji Tengku Aziz Raja Abdullah, mengadakan lawatan terhadap jemaah haji yang dimasukkan ke Pusat Rawatan Shisyah di sini.

Lawatan mereka itu untuk mendapatkan maklumat ibadah daripada pesakt terutama mereka yang masih dalam ihram dan belum menyelesaikan ibadah umrah memandangkan wukuf semakin hampir, kira-kira 10 hari lagi.

Hassan berkata, sebelum jemaah haji yang uzur mewakilkan ibadah melontar kepada orang lain, mereka perlu mendapatkan pengesahan doktor dan pegawai agama maktab untuk berbuat demikian.

Menyentuh isu yang telah dirujuk kepada pakar rujuk untuk musim Haji kali ini, Hassan berkata hanya satu dua kes yang timbul termasuk isu sama ada isteri boleh melakukan badal haji untuk suami yang meninggal dunia.

Beliau berkata, jika isteri belum pernah menunaikan haji dan ini adalah kali pertama, maka ia tidak boleh melakukan badal haji untuk arwah suaminya.

"Hanya isteri yang telah menunaikan haji sebelum ini yang boleh menjadi badal haji kepada arwah suaminya," katanya.

Beliau berkata selain itu, jika suaminya pernah mengerjakan haji, maka isteri tidak perlu mengadakan badal haji, kecuali jika arwah suaminya meninggalkan wasiat, maka isteri perlu menunaikannya.

- BERNAMA

Berita Harian X