Isnin, 17 Ogos 2015 | 12:52pm

Usah kaitkan saya dengan Azwan Kombos - Ezzaty


EZZATY Abdullah dan Azwan.

KUALA LUMPUR: Pernah membuat kenyataan mengenai hubungan percintaan sebelum ini, teka-teki mengenai kisah Azwan Kombos dengan Ezzaty Abdullah terus menjadi tanda tanya kebelakangan ini. Difahamkan hubungan akrab mereka sudah berlarutan sejak tujuh bulan lalu, namun kini seperti ada plot cerita lain pula yang wujud.

Diimbau kembali, Azwan pernah membuat pengakuan yang dia bercinta dengan Ezzaty ketika ditemubual wartawan BH di rumah terbuka anjuran rumah produksi Global Station Sdn Bhd di Subang Jaya. Cuma pinta Azwan, dia tidak mahu kisah cinta mereka diperbesarkan. Tetapi ironinya, kenapa pula kebelakangan ini Azwan dilihat begitu kerap bersama pelakon baharu MIG bernama Natasha Charmaine Rickson.

Malah Azwan dan Natasha turut dilihat sama-sama memeriahkan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2015 di Pavilion. Azwan juga turut memuat naik gambar berdua di samping Natasha. Lalu, apa pula status sebenar hubungan Ezzaty dengan Azwan. Pertemuan dengan Ezzaty semalam ketika hadir di acara malam terakhir KLFW menampilkan koleksi terbaharu Rizman Ruzaini, gadis manis itu ditanya mengenai hal itu.


AHMAD Sohaimi (duduk) dan Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman melihat maklumat terkini jemaah haji yang dipaparkan menerusi Dashboard Maktab.

Apakah wujud gangguan orang ketiga? Atau sikap Azwan sendiri yang membuatkan hubungannya dengan Ezzaty jadi hambar?

"Kalau boleh saya tak nak komen apa-apa mengenai hal ini. Kalau boleh, tak payah lagi kaitkan kami berdua. Dia (Azwan) bebas berkawan dengan sesiapa dan begitu juga saya. Bagi pihak saya, tak ada masalah antara kami. Lagipun buat masa sekarang saya sibuk dengan kerja seni. Mungkin juga dia perlukan kawan kerana saya terlalu sibuk," kata Ezzaty yang seakan-akan tertanya-tanya siapa dia sebenarnya di hati Azwan.

Ezzaty sebelum ini pernah melalui fasa cinta kecundang di tengah jalan. Sepatutnya September tahun lalu, dia sudah bergelar isteri tetapi jodoh tak sampai. Azwan sendiri pernah melalui fasa yang sama apabila cintanya dengan Nad Zainal turut berakhir dengan kekecewaan. Jelas, wajah Ezzaty seakan menyembunyikan sesuatu dan apakah hubungan mereka diganggu wanita lain? Seolah-olah Ezzaty diberi harapan palsu.

"Saya tak pasti sama ada wujud perempuan lain di antara kami. Mungkin juga wanita itu kawan dia. Kawan seperjuangan dia. Dia bebas berkawan macam saya cakap tadi. Saya tak tahu menahu. Saya hanya berserah pada takdir. Saya terima apa sahaja yang tertulis. Saya pernah lalui perkara sama. Saya sudah cukup kuat untuk semua ini. Mungkin ini tempoh untuk dia mengenali sesiapa dan mungkin juga saya bukan pilihan dia," katanya.

Ezzaty, dalam perkembangan lain, sedang melunaskan baki penggambaran drama slot Akasia TV3, Hello Mr Perfect dan untuk Astro berjudul Uda & Dara.

BH Online sebelum ini pernah mendapatkan penjelasan daripada Azwan mengenai hubungannya dengan Ezzaty.

"Macam apa yang saya pernah cakap sebelum ini, saya memang berkawan rapat dengan Ezzaty. Saya kenal dia sudah lebih daripada lima bulan. Dan saya rasa kalau untuk jatuh cinta dengannya suatu hari pun boleh. Tapi saya tak mahu rosakkan persahabatan kami disebabkan cinta. Sebab apabila sudah bercinta dan jika bukan jodoh bersama, mungkin sukar untuk kami berkawan rapat semula seperti sekarang.

"Saya selesa dengan keadaan sekarang. Sebab saya bukannya kali pertama bercinta. Banyak belajar daripada pengalaman lepas," katanya.

131 dibaca
Berita Harian X