Isnin, 17 Ogos 2015 | 12:47pm

Dua lelaki dituduh minta rasuah selesai kes dadah


TERTUDUH Yusmat Mohamat@Ahmad 47 dan Mohamed Fauzi Hashim , 44 kelihatan tiba di Mahkamah Kuala Terengganu. - Foto Syahirah Abdullah

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan meminta rasuah sebanyak RM71,000 daripada seorang lelaki bagi menyelesaikan kes dadah.

Tertuduh, Yusmat Mohamat, 47, dan Mohamed Fauzi Hashim, 44, masing-masing berdepan 10 dan sembilan pertuduhan bersama meminta wang daripada Yusof Ab Ghani berjumlah antara RM1,500 hingga RM22,500.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara Julai hingga September 2011 di sekitar Kemaman.

Mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu pada Sabtu lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin keseluruhan RM40,000 dan menetapkan 1 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X