Ahad, 16 Ogos 2015 | 8:41pm

Mayat peniaga minyak wangi Pakistan ditemui dalam semak

JOHOR BAHRU: Mayat seorang peniaga minyak wangi warga Pakistan ditemui orang awam dengan kesan tetakan pada belakang leher serta luka di muka di kawasan semak berhampiran Kampung Tengkorak, Permas Jaya, di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata mangsa yang dikenali sebagai Najeed Muhammad, 40, berdasarkan pasport ditemui dalam bajunya, ditemui kira-kira jam 8.15 pagi oleh orang awam.

Katanya, polis yang pergi ke lokasi kejadian mendapati mayat lelaki dalam keadaan tertiarap di semak, manakala kakinya di atas jalan raya.

"Terdapat kesan tetakan di belakang leher mayat mangsa, selain beberapa lagi kesan luka di muka. Pasport antarabangsa Pakistan ditemui pada mayat dan mangsa didapati memasuki negara ini pada 25 Julai lalu," katanya.

Sulaiman berkata, Kedutaan Pakistan sudah dimaklumkan berhubung penemuan mayat rakyat negara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Satu pasukan khas siasatan juga sudah ditubuhkan bagi mengesan suspek yang terbabit, selain mengenal pasti motif pembunuhan. Polis meminta saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu siasatan," katanya.

13 dibaca
Berita Harian X