Ahad, 16 Ogos 2015 | 12:17am

Pendatang haram Bangladesh raih pendapatan RM200 sehari


SHAMSUL, 50 tahun, warga Bangladesh, sudah lima tahun menetap di Malaysia. Tidak mempunyai pasport atau sebarang dokumen yang sah.

Sehingga ke hari ini, dia tidak pernah ditahan pihak berkuasa, sebaliknya hidup senang di negara ini menerusi perkhidmatan memotong rumput yang dilakukannya.

Ditemui ketika sedang berlegar-legar di Kampung Melayu Subang, Selangor dengan menaiki basikal usang bersama peralatan memotong rumput, Shamsul akan singgah dari rumah ke rumah yang memerlukan perkhidmatan memotong rumput.

Jika nasibnya baik, lumayanlah pendapatan pada hari berkenaan. Pada satu ketika, beliau mampu mengutip sehingga RM200 sehari, malah mampu mencecah sehingga RM3,000 sebulan!

Berkongsi pengalaman hampir lima tahun melakukan kerja recam di negara ini, Shamsul berkata, sebelum bekerja sendiri, dia terlebih dahulu bekerja sebagai pemotong rumput dengan majikan tempatan.

Namun, akibat tidak tahan gaji disekat dan pelbagai lagi masalah yang timbul selepas dua tahun kerja makan gaji, dia nekad untuk bekerja sendiri.

Dengan bermodalkan sedikit wang simpanan, Shamsul membeli mesin rumput berharga RM400 dan mencuba nasib di sekitar kawasan perumahan Kampung Melayu Subang.

PEKERJA asing, Shamsul yang mengambil upah memotong rumput. - Foto NSTP

Pada mulanya, beliau hanya berjalan kaki dari satu rumah ke rumah dengan memikul semua peralatan memotong rumput. Namun, selepas memperoleh sedikit simpanan, dia membeli sebuah basikal terpakai untuk memudahkannya memotong rumput di kawasan lebih jauh.

"Saya hanya ambil upah RM30 untuk satu rumah. Kalau dia suruh jaga pokok atau siram bunga, tuan rumah bagi lebih. Saya anggap rezeki itu sudah cukup besar untuk saya hantar kepada isteri dan anak di kampung (Bangladesh).

"Kadang-kadang tuan rumah tiada bagi duit. Hanya bagi makan dan kuih sedikit. Jadilah untuk alas perut," katanya sambil mengelap mesin rumput terpakai yang dibelinya.

Ketika sedang berehat di tepi jalan, beberapa penduduk kampung juga menyapanya mesra seakan-akan Shamsul diterima baik oleh penduduk setempat.

"Assalamualaikum Shamsul!," sapa seorang pakcik ketika berselisih jalan dengannya.

Akui Shamsul, rakyat di negara ini sangat bermurah hati dan sentiasa mengambil berat terhadapnya.

"Jika tidak nampak saya dua hari, kakak dan abang di sini pasti tanya saya pergi mana. Kenapa lama tiada mari (datang). Pernah juga bayar makan saya. Rakyat Malaysia memang baik hati. Mana-mana negara pun tak sama macam Malaysia punya orang," katanya yang keluar bekerja bermula jam 9 pagi hingga lima petang.

SHAMSUL mengambil upah memotong rumput sebanyak RM30 untuk sebuah rumah dan akan mendapat lebih jika pemilik kediaman menyuruh menjaga pokok dan menyiram bunga. - Foto NSTP

Bagaimanapun, langit tak selamanya cerah. Jika kurang bernasib baik, dia hanya pulang dengan poket kosong dan hanya penat menemani selepas seharian mengayuh basikal tuanya. Malah, pernah selama seminggu, dia hanya makan beralaskan roti kosong bersama air teh tanpa gula.

"Saya anggap rezeki itu milik Allah, ada hari Dia kasi lebih... ada hari kurang. Takpa, saya syukur juga," katanya.

Shamsul berkata, setiap bulan beliau akan menghantar wang belanja ke kampung sebanyak RM500.

"Sekarang, saya hantar kampung RM500...ada bulan saya bagi lebih. Kalau dulu saya bagi RM200 saja... lepas kerja sendiri, dapat hantar lebih," katanya yang mempunyai seorang isteri dan tiga anak.

Selepas hampir tiga jam bersamanya, akhirnya Shamsul mengakui bahawa pasportnya dibawa lari oleh ejen tiga tahun lalu.

"Ejen itu orang sini (warga Malaysia). Dia janji mau 'renew' (perbaharui) pasport saya. Minta saya RM3,000 tapi sampai sekarang dia tiada datang. Habis pasport sama duit saya dia ambil," akuinya.

Ditanya mengapa tidak membuat laporan polis di kedutaan, Shamsul mendakwa tidak tahu proses atau tindakan yang perlu dilakukan.

SHAMSUL mahu pulang ke negara asal dalam tempoh tiga tahun lagi bagi melepaskan rindu kepada keluarga tercinta. - Foto NSTP

"Saya takut kena hantar balik kampung. Sana (Bangladesh) hidup susah, kerja tiada. Memang rindu sama anak, bini... tapi apa mau buat, sini kerja senang, duit senang. Tak boleh balik lagi," katanya dengan nada sayu.

Shamsul berkata, jika diizinkan, dia mahu pulang ke negara asal dalam tempoh tiga tahun lagi bagi melepaskan rindu kepada keluarga tercinta.

"Dapat simpan sikit duit, hidup kasi senang sikit...baru boleh balik kampung tengok anak. Sekarang kerja dulu," katanya.

BH Plus juga turut dibawa menemui rakannya yang juga mengambil upah memotong rumput di kawasan perumahan berkenaan.

Nasib Farouq kelihatan lebih baik. Tidak seperti Shamsul, yang hanya mampu membonceng basikal tua, Farouq, 29, sudah mampu membeli sebuah motosikal baharu dengan hasil keringatnya.

"Selain potong rumput, saya juga 'repair' (baiki) mesin basuh, televisyen... apa saja yang rosak saya cuba kasi elok.

"Dulu, saya kerja sama orang, bila kontrak sudah tamat.. saya kerja sendiri. Beli mesin sendiri.. sendiri kerja, baru dapat bagi kampung lebih sikit," katanya yang fasih berbahasa Melayu.

FAROUQ mahir membaiki barangan elektronik dan kerja pertukangan. - Foto NSTP

Farouq berkata, dengan kepakarannya membaiki barangan elektronik dan kerja pertukangan, beliau mampu meraih RM200 hingga RM400 sehari.

"Ada hari, semua mahu panggil saya potong rumput, buat 'plumbing' (membaiki paip)... memang tak cukup tangan. Tapi saya syukur, rezeki di sini sentiasa murah," katanya yang mempunyai dua anak di Bangladesh.

Masuk ke negara ini menerusi ejen berdaftar sembilan tahun lalu, Farouq berkata, dia menggadaikan harta pusaka milik arwah bapanya untuk datang ke negara ini.

"Saya bayar RM10,000 sama ejen. Mari sini (Malaysia) naik kapal sama kawan-kawan lain dan sampai saja sini, kami terus berpecah ikut ejen masing-masing," akuinya sambil menambah tidak tahu nasib rakannya yang lain.

FAROUQ juga mengambil upah memotong rumput. - Foto NSTP

Sementara itu, bagi penduduk di kawasan berkenaan, Salihah Kassim, 50, beliau lebih mempercayai tenaga kerja Bangladesh kerana selain kos upah yang murah, mereka juga lebih rajin jika dibandingkan dengan orang tempatan.

"Mereka kerja tak pernah berkira... akak suruh siram bunga, jaga pokok pun dia orang buat. Basuh lantai luar rumah. Apa saja kita suruh, dia orang buat dengan cepat.

"Berbeza dengan orang tempatan, suruh lebih sikit ada saja caj tambahan. Sebab itu, kita suka gaji orang luar," katanya.

Ditanya sama ada pernah berlaku kes kecurian atau jenayah, Salihah berkata, setakat ini, kawasan perumahannya bersih daripada gejala kecurian atau kegiatan tidak sihat.

"Setakat ini, Alhamdulillah, tiada lagi kejadian pecah rumah atau apa-apa...dia pun kami dah kenal lama. Semua orang kampung dah kenal dia. Kalau tiada kat rumah pun, dia akan datang buat kerja dulu, tuan rumah balik kerja, baru dia datang ambil upah," katanya.

Berita Harian X