Sabtu, 15 Ogos 2015 | 10:20pm

Badminton Dunia: Impian menggunung Chong Wei

JAKARTA: Sekarang atau lupakan.

Itu situasi yang dihadapi jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menjelang pertembungan dengan bintang sensasi China, Chen Long pada aksi final Kejohanan Badminton Dunia di Stadium Istora Senayan, esok.

Dengan misi merangkul gelaran juara sulung menjadi buruan, Chong Wei tidak mempunyai pilihan selain mengatasi juara bertahan, Chen Long bagi merealisasikan impiannya yang sebelum ini sekadar tiga kali muncul naib juara iaitu pada 2011 di London, 2013 di Guangzhou dan 2014 di Copenhagen (ditarik balik kerana kes doping) dalam sembilan penampilannya di Kejohanan Dunia sejak 2005.

Pemain berusia 33 tahun itu mengakui ia mungkin menjadi penampilan terakhirnya di pentas final Kejohanan Dunia dan menegaskan dia perlu melakukan apa saja bagi memenangi gelaran juara.

"Selepas digantung lapan bulan kerana kes doping, saya kembali dan memasuki pentas final sekali lagi.

"Saya harap dapat capai impian saya, apa pun yang terjadi saya perlu bertahan sehingga tamat perlawanan. Mungkin ini peluang dan final Kejohanan Dunia terakhir saya, jadi saya mahu melakukan yang terbaik.

"Saya tidak mahu mengulangi kesilapan tahun lalu kerana terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri. Kali ini, saya perlu lebih tenang," kata Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia.

Pertembungan esok adalah aksi ulangan edisi final 2014 yang menyaksikan Chen Long bergelar juara buat kali pertama.

Terdahulu, Chong Wei mara ke final buat kali ketiga berturut-turut sejak 2013 selepas menewaskan Jan O Jorgensen dari Denmark 21-7, 21-19 manakala Chen Long menundukkan pemain Jepun, Kento Momota 21-9, 21-15 dalam aksi separuh akhir.

Sementara itu, Chen Long yang turun sebagai pilihan utama kejohanan meramalkan aksi sukar bertemu Chong Wei, esok.

"Saya sudah banyak kali menentang Chong Wei. Esok (hari ini) pastinya menjadi perlawanan yang berbeza, apa pun semuanya akan ditentukan menerusi prestasi kamu di atas gelanggang," kata pemain nombor satu dunia itu.

Berita Harian X