Sabtu, 15 Ogos 2015 | 11:31am

WSC: Airul Firham bangga wakili negara dalam bidang dandanan rambut


AIRUL Firham Che Amran mempamerkan kepakarannya pada pertandingan World Skills Competition (WSC) di Anhembi Park, Sao Paulo. - Foto BERNAMA

SAO PAULO: Airul Firham Che Amran tidak pernah menyangka bidang dandanan rambut yang diceburi sekadar untuk mencuba, membawanya ke Sao Paulo, Brazil sebagai seorang daripada peserta negara pada pertandingan World Skills Competition (WSC).

Pemuda dari Arau, Perlis itu berkata, dia hanya mengikut cadangan kakak iparnya yang juga tenaga pengajar di GiatMara, untuk mengikuti pengajian dalam bidang itu kerana tidak mempunyai sebarang perancangan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiga tahun lalu.

Airul Firham, 21, kemudian mengikuti latihan amali bersama pendandan rambut, Khaljaksa Khalil di Khal Saloon, Subang Jaya sebelum menyambung pengajian di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) di Peretak, Kuala Kubu Baru, Selangor. Berbekalkan pelbagai peralatan mendandan rambut termasuk enam jenis gunting di pinggangnya, dia bersaing dengan 31 belia berbakat termasuk dari Perancis, Korea Selatan, United Kingdom dan Jerman dalam bidang dandanan rambut dalam pertandingan berprestij itu.

"Pada awal pertandingan saya berasa sedikit gementar sehingga dahi berpeluh, namun selepas beberapa ketika, saya mula berasa bangga kerana dapat mewakili negara dan fokus dalam melakukan tugasan projek yang diberikan," katanya kepada Bernama di sini, Sabtu.

Airul Firham perlu mengharungi cabaran selama empat hari bermula Rabu lalu termasuk menggayakan rambut mengikut tema seperti 'ladies long hair down', 'bridal long hair up' dan 'men fashion hair cut'. Dia akan memastikan mendapat rehat yang cukup serta memakan vitamin bagi kekal cergas untuk menempuh pertandingan itu yang keseluruhannya memakan masa 20 jam.

"Segalanya berjalan dengan baik setakat tiga hari pertandingan ini dan saya harap menyumbang pingat pertama untuk Malaysia dalam WSC," katanya.

Chuah Zi Wen, 20, pula mempunyai cara berbeza untuk kekal cergas dan fokus iaitu dengan memakan coklat sebelum pertandingan bermula.


AIRUL Firham Che Amran

Pelatih dari Y Snow Beauty di Kepong itu berkata, ia membantu memberikannya tenaga untuk melakukan tugasan termasuk rawatan muka, solekan, hiasan kuku kaki dan tangan.

"Saya juga tidak memakan makanan pedas dan berkafein bagi mengelak sakit perut dan sukar tidur selain banyak minum air dan memakan sayur untuk kekal cergas," katanya.

Chuah bersaing dengan 25 lagi peserta termasuk dari Singapura, negara yang mengungguli bidang itu pada dua pertandingan sebelum ini.

Sebanyak 20 peserta Malaysia menyertai 19 bidang kemahiran termasuk elektronik, teknologi fesyen, masakan dan penyelenggaraan pesawat dalam pertandingan yang bermula pada Rabu hingga Ahad ini.

Peserta hanya dibenarkan menyertai pertandingan itu sekali dalam seumur hidup mereka. - BERNAMA

21 dibaca
Berita Harian X