Sabtu, 15 Ogos 2015 | 12:09am

Iqram Dinzly tak tumpang populariti teman intim


JODOH sesama artis bukanlah sesuatu yang pelik. Kalau sudah tertulis namanya jodoh, samalah juga dengan peribahasa asam di darat, ikan di laut bertemu juga di dalam kuali. Di Malaysia sendiri, bukan pelik atau asing jika ada yang memilih sesama artis sebagai pilihan hidup. Begitu juga di peringkat antarabangsa.

Brad Pitt dan Angelina Jolie, Kim Kardashian dan Kanya West, Beyonce Knowles dan Jay Z, Justin Timberlake dan Jessica Biel, antara contoh perkahwinan sesama artis di Hollywood. Di Malaysia sendiri, pasangan popular sebegitu, antaranya seperti Rozita Che Wan dan Zain Saidin, Scha Alyahya dan Awal Ashaari, Memey Suhaiza dan Norman Hakim, Mizz Nina dan Noh Hujan, Zamarul Hisham dan Diana Rafar serta Sarah Raisuddin dan Shuib Sepah.

Iqram Dinzly yang selama ini pernah dikaitkan dengan beberapa nama artis wanita tanah air seperti Fouziah Gous, Soo Wincci dan terkini dengan Uqasha Senrose juga tidak melihat jodoh sesama artis sesuatu yang perlu dipertikaikan dan mengundang masalah pada kemudian hari. Baginya, skeptikal rumah tangga artis sesama artis tidak bertahan lama, tidak sepatutnya timbul.

"Soal jodoh ini kita tak mampu duga dan rancang. Tak semestinya artis yang bercinta dengan mereka yang sealiran bidang tidak boleh mengecap bahagia. Kita tak boleh jangka semua ini. Pokok pangkalnya semua berbalik kepada diri sendiri. Ada yang menjalinkan cinta lokasi (cinlok) hingga membawa ke gerbang perkahwinan. Rozita Che Wan dan Zain Saidin setahu saya mereka mula rapat ketika membintangi drama Kiah Pekasam.


IQRAM sudah lebih sedekad memilih haluan seni masih terus aktif meneruskan legasinya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Saya sering melihat pasangan Scha dan Awal sebagai pasangan contoh. Mereka boleh memberi inspirasi dengan pengaruh yang mereka ada kepada orang ramai. Dengan kehadiran anak, Lara Alana juga terus melengkapkan hidup mereka. Saya sendiri tidak melihat andai jodoh saya dengan artis sebagai satu masalah besar.

"Tak kiralah siapa wanita itu atau statusnya, cukup dia boleh menerima saya seadanya dan begitulah sebaliknya," kata Iqram yang kini sedang melunaskan baki penggambaran telenovela siaran Astro berjudul Memori Cinta Suraya terbitan Global Station.

Pada usianya menginjak 34 tahun, Iqram seperti lelaki lain juga mendambakan sebuah rumah tangga. Jika boleh selorohnya, esok juga dia mahu menamatkan zaman bujang. Cuma jodoh belum sampai tetapi jejaka ini sebenarnya terbuka untuk mengenali hati mana-mana wanita yang didekatinya, termasuklah Uqasha sendiri yang dilaporkan rapat dengannya ketika ini.

"Sampai bila saya nak hidup solo. Kalau nak pertikaikan soal jodoh atau kenapa saya lambat berkahwin, ramai sebenarnya artis lelaki di negara kita yang berdepan senario sama. Tak perlu saya senaraikan dan saya rasa anda tahu siapa yang belum berkahwin dan senasib dengan saya. Sekalipun ada yang bertanya atau dalam erti kata lain mempertikaikan kenapa saya lambat berkahwin, saya tak lihat itu sebagai tekanan.


IQRAM Dinzly. - Foto Shazreen Zamzuri

"Keluarga saya sendiri memahami dengan kesibukan saya sebagai anak seni. Bagi orang luar yang tak kenal serta rapat dengan saya di luar sana... mereka boleh besarkan isu ini. Saya hormati dan terus bersabar dengan situasi sebegitu. Nak kahwin pun bukan sekadar memikirkan kos perbelanjaan hari bahagia tetapi patut diutamakan juga ialah kehidupan selepas berkahwin. Kos sara hidup sekarang pun bukan makin menurun.

"Apabila berkahwin, bukan diri sendiri sahaja yang perlu difikirkan. Keperluan isteri dan seterusnya anak jika dikurniakan rezeki perlu difikirkan juga.. Tanyalah mana-mana lelaki atau perempuan di luar sana, siapa yang tak mahu berkahwin. Sebagai lelaki, saya sendiri mahu ada zuriat sendiri yang boleh meneruskan kelangsungan keluarga. Ada jodoh cepat, saya pasti berkahwin. Kalau belum ada, kenalah tunggu dan tunggu," katanya

Ditanya mengenai Uqasha, Iqram tidak mahu terlalu membicarakan mengenainya.

"Kami baharu sahaja mengenali. Masih terlalu awal untuk menjangka apa kesudahannya. Sebelum ini pernah bertemunya di acara hiburan selain mengetahui dia juga sering digosipkan dengan pelakon itu dan ini. Tapi saya ini jika tahu mana-mana wanita sedang berhubungan dengan lelaki lain, saya tak akan menjerat diri mendekati. Saya bukan jenis manusia yang suka mengganggu kebahagiaan perasaan orang lain.

"Kami jadi akrab selepas menyertai acara beraya di Kuching, Sarawak, yang dianjurkan Lisdawati dan suaminya, Fauzi Nawawi pada 23 hingga 24 Julai lalu. Ziana Zain juga menjadi artis yang diundang selain kami. Masa di Sarawak itu, tak tahulah bagaimana boleh terbit perasaan untuk mengenalinya dengan lebih dekat.

"Kami ada bergurau, mengusik dan bersembang sesama sendiri seperti biasa. Saya tak jangka dan rancang apatah lagi berniat untuk menimbulkan situasi seperti ini. Perasaan ingin kenal itu terbit secara tiba-tiba. Dia (Uqasha) pula jenis yang manja dan boleh menerima usikan serta gurauan secara terbuka. Kemudian kami boleh jadi ngam. Saya pun sudah lama tak ada kawan rapat sesama industri. Semua ini terjadi secara kebetulan," katanya.

Uqasha ketika ditanya mengenai persahabatan dengan Iqram juga enggan mengulas lanjut.

Hakikatnya, Iqram tidak mahu berbicara lanjut mengenai `hubungannya' dengan Uqasha. Beliau bimbang sejarah lama ketika rapat dengan beberapa artis berulang kembali dan tak kurang juga melabelkannya sebagai pelakon yang gemar menumpang populariti artis lain.

"Kalau ada yang anggap saya jenis yang suka tumpang populariti... mungkin sejak lama lagi saya sudah lakukan plot cerita yang sama atau mungkin lebih daripada itu. Tapi dalam industri ini, saya berusaha sendiri untuk berjaya," katanya.


IQRAM kini dikatakan rapat dengan aktres Uqasha Senrose. - Foto Instagram

Bercerita mengenai rakan rapat wanita lain yang terdahulu, Iqram berkata, beliau menghormati Fouziah Gous sebagai isteri orang dan hubungan mereka kini tidak serapat dulu.

"Fouziah Gous, saya kini menghormatinya sebagai isteri orang. Dia antara kawan yang pernah baik dengan saya. Cuma dengan statusnya sekarang, kami sudah tak serapat seperti dahulu. Saya mendoakan kebahagiaannya supaya terus berpanjangan. Dengar dia berbadan dua, menjadi pengacara Nona dan perniagaan produk sarang burungnya berjaya, saya tumpang bangga.

"Soo Wincci pula memang kami masih berhubungan macam biasa. Kami sering bertukar dan bertanya pandangan mengenai hal kerjaya dan masa hadapan. Sekarang pun dia sedang berusaha melebarkan saya di Amerika Syarikat dengan menghasilkan single dengan komposer ternama di sana. Pendek kata, saya tak pernah akan lupa memberikan sokongan moral kepadanya," kata Iqram.


MENGINJAK usia 34 tahun, Iqram bersedia menamatkan zaman bujang dan terbuka untuk mengenali hati mana-mana wanita yang didekatinya. - Foto Munira Abdul Ghani

Mengenai kerjaya lakonannya, Iqram yang sudah lebih sedekad memilih haluan seni masih terus aktif meneruskan legasinya. Biar dilihat namanya tidak terlalu menyerlah atau popular seperti pelakon lain yang sering menjadi sebutan, Iqram selesa dengan keadaan itu. Baginya, cukup tawaran berlakon dan apa sahaja yang boleh mendatangkan pendapatan tak pernah putus.

"Saya masih mewarnai persada seni. Tahun ini juga saya terbabit dengan promosi iklan raya barang kemas jenama Habib Jewels. Selain itu, saya juga dilantik sebagai Ikon Belia Perpaduan Negeri Perak sejak tahun ini selama setahun. Sejak September tahun lalu juga saya berada di lokasi penggambaran Memori Cinta Suraya. Hampir setahun juga penggambaran drama itu," katanya.


IQRAM bersama Siti Saleha (kiri) dan Elfira Loy dipilih menjadi duta selebriti Habib Jewels. - Foto Muhd Asyraf Sawal

31 dibaca
Berita Harian X