Khamis, 13 Ogos 2015 | 4:59pm

Kerja baik pulih Velodrom Cheras siap ikut jadual - PKBM

NAIM bersama wakil media membuat tinjauan di Velodrom Cheras, hari ini. Kerja-kerja pembaikan giat dilaksanakan di velodrom ini sebagai persiapan acara Lumba Basikal Grand Prix Trek Asia Tenggara 2015, yang akan bermula Selasa ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerja-kerja membaik pulih Velodrom Cheras dijamin siap sebelum kejohanan dua hari Lumba Basikal Grand Prix Trek Asia Tenggara 2015, yang akan bermula Selasa ini.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Naim Mohamad berkata kontraktor yang dilantik persatuan itu sedang giat menjalankan kerja-kerja itu termasuk memperbaiki permukaan simen velodrom selain kerja pemotongan rumput.

"Trek masih boleh digunakan kecuali ada beberapa tempat berlaku kopakan di permukaan velodrom di mana kontraktor terbabit melakukan kerja menyimen.

"Kerja-kerja pembaikan boleh siap selewat-lewatnya pada Sabtu ini," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di venue berkenaan, hari ini.

Naim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Trek PKBM, berkata beberapa negara seperti Afrika Selatan, China, Hong Kong, Uzbekistan dan Ireland telah mengesahkan penyertaan pada kejohanan berkenaan, yang menjadi medan untuk mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik 2016 di Brazil.

Beliau berkata, PKBM akan menghantar skuad terbaik pada kejohanan itu termasuk tiga pelumba elit yang berpangkalan di Melbourne, Australia iaitu pelumba elit lelaki, Mohd Azizulhasni Awang selain dua pelumba wanita, Fatehah Mustapa dan Jupha Somnet.

Mengenai projek membaik pulih Velodrom Rakyat di Ipoh, Perak, kosnya dijangka lebih murah iaitu RM2.68 juta berbanding anggaran kos sebanyak RM4 juta seperti yang dicadangkan oleh Persatuan Berbasikal Perak (PCA).

"Projek pemulihan dijangka boleh disiapkan dalam masa sebulan setengah. Kita meminta ahli gabungan kita di Perak untuk mendapatkan penajaan membiayai penyelenggaraan," katanya.

Velodrom Rakyat adalah trek berbasikal pertama yang dibina di negara ini pada 1984 melalui sumbangan orang ramai atas inisiatif bapa Amarjit, Tan Sri Darshan Singh Gill selepas mendapat perkenan daripada Almarhum Sultan Azlan Shah. - Bernama

Berita Harian X