Selasa, 11 Ogos 2015 | 3:28pm
PEKERJA penyelenggara lebuhraya warga Bangladesh maut selepas dilanggar sebuah lori di KM242 Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Seremban (arah selatan) malam tadi. - Foto BERNAMA

Pekerja Propel maut dirempuh lori

SEREMBAN: Niat seorang pekerja syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) membantu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang rosak di KM 262, Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) dekat sini, berakhir dengan tragedi malam tadi.

Jurucakap polis berkata, dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, mangsa Rakib Hussin, 20an, berasal dari Bangladesh dikatakan membantu menolak kenderaan pacuan empat roda itu ke tepi lebuh raya bersama seorang pemandu kereta lain sebelum dirempuh sebuah lori yang hilang kawalan.

Katanya, lori berkenaan telah melanggar mangsa dan juga kenderaan pacuan empat roda serta sebuah kereta lain. Mangsa yang cedera parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar untuk bedah siasat. Pemandu kenderaan pacuan empat dan kereta itu bagaimanapun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan kemalangan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -BERNAMA

Berita Harian X