Selasa, 11 Ogos 2015 | 8:03am
PEMAIN Manchester City, Yaya Toure diasak pemain lawan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang West Bromwich Albion di Stadium The Hawthorns, Birmingham, awal pagi tadi. - Foto Reuters

EPL: Man City bermula garang benam West Brom 3-0


PEMAIN Manchester City, Vincent Kompany (tengah) meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan pada perlawanan Liga Perdana Inggeris menentang West Bromwich Albion di Stadium The Hawthorns, Birmingham, awal pagi tadi. - Foto Reuters

WESY BROMWICH: Kehadiran bintang baharu Raheem Sterling di Manchester City masih dibayangi pemain bintang lama apabila membenam West Bromwich Albion 3-0 pada perlawanan sulung Liga Perdana Inggeris musim ini, awal pagi tadi.

Yaya Toure menyumbat dua gol pada minit ke-9 dan ke-24 manakala gol ketiga City menerusi Vincent Kompany pada minit ke-59.

Ketika pesaing Chelsea dan Arsenal tergelincir untuk mendapat tiga mata penuh, skuad Manuel Pellegrini sebaliknya bermula garang di gelanggang lawan di Hawthorns.


PEMAIN Manchester City, David Silva (kiri) dicabar pemain West Bromwich Albion, Joleon Lescott pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium The Hawthorns, Birmingham, awal pagi tadi. - Foto EPA

Sterling, yang mencatat rekod perpindahan termahal di EPL seatakat ini dari Liverpool iaitu AS$76 juta, sepatutnya mencatat nama sebagai penjaring City malam tadi namun gerakannya masih hambar dan dikeluarkan selepas beraksi selama 74 minit.

Pengurus West Brom, Tony Pulis bagaimanapun berharap kehadiran bintang Venezuela, Solomon Rondon yang baharu ditandatangani membabitkan rekod pembelian kelab sebanyak STG12 juta, mampu menajamkan lagi jentera serangan.

Pengesahan Solomon menyertai kelab itu dari Zenit St Petersburg hanya dilakukan beberapa jam sebelum perlawanan pertama musim ini yang berakhir dengan kekecewaan di gelanggang sendiri. - AFP

Berita Harian X