Selasa, 11 Ogos 2015 | 12:57am
SULAIMAN melayan pengunjung di warung cendol miliknya. - Foto Iqmal Haqim Rosman
PENGUNJUNG menikmati cendol di warung Leman Dawi. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Cendol tambah percuma Leman Dawi


SEREMBAN: Pengalaman dibelasah kerana tiada wang untuk membayar cendol tambah, menjadi punca seorang pesara tentera membuka warung cendol yang membenarkan pelanggan menambah dengan percuma.

Menceritakan kisahnya, Sulaiman Dawi, 62, berkata ketika berusia 10 tahun dia mengalami satu peristiwa menyedihkan selepas menikmati cendol yang menjadi kegemarannya di Bandar Rembau.

"Saya berjalan kaki sejauh 10 kilometer dari rumah di Kampung Ulu Sepri, Rembau, semata-mata untuk makan cendol. Saya memesan dua mangkuk cendol yang berharga 10 sen semangkuk tanpa menyedari saya tidak cukup wang.

"Peniaga terbabit memukul dan menghalau saya hanya kerana tidak cukup 10 sen. Perasaan sedih ketika itu tidak dapat digambarkan. Sejak itu saya bertekad mahu menjual cendol apabila dewasa dan membenarkan pelanggan menambah dengan percuma," katanya kepada BH.

Dia yang lebih dikenali sebagai Leman Dawi membuka warung cendol yang diuruskan isterinya di tepi jalan berhampiran Taman Tuanku Jaafar di Senawang di sini, beberapa tahun sebelum bersara daripada perkhidmatan tentera pada 1993.


SULAIMAN menunjukkan keratan akhbar yang dikumpulnya ketika ditemui di warung cendol di tepi Jalan Seremban-Tampin di Sungai Gadut. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Warung berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dan menjadi terkenal kerana membenarkan pelanggan menambah cendol termasuk gula hitam, santan dan ais sesuka hati, selain tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pelanggan yang miskin.

Perniagaannya yang semakin maju mendapat perhatian Majlis Perbandaran Nilai (MPN) yang menawarkannya beroperasi di kawasan gerai di tepi jalan Seremban-Tampin di Sungai Gadut di sini, pada 2007.

Selain cendol tambah percuma, gerai Leman Dawi ini turut terkenal kerana celotehnya yang bersahaja seolah-olah berpidato, mengenai pengetahuan am dan sejarah kepada pelanggannya hampir sepanjang masa.

Dia akan menyebut mengenai sejarah negeri kelahiran, atau asal usul pekerjaan pelanggannya, atau apa sahaja pengetahuan am yang mempunyai kaitan dengan pelanggan yang dihampirinya, membuatkan mereka teruja.

Ramai pelanggan tetap menggelarnya ensiklopedia bergerak kerana sering berkongsi ilmu pengetahuan. Malah, dia turut memakai apron khas buatan sendiri untuk mengusung pelbagai buku rujukan, termasuk ensiklopedia sepanjang masa.


PENGUNJUNG menikmati cendol di warung Leman Dawi di tepi jalan Seremban-Tampin di Sungai Gadut. - Foto Iqmal Haqim Rosman


SULAIMAN melayan pengunjung di warung cendol miliknya di tepi Jalan Seremban-Tampin di Sungai Gadut. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengenai keuntungan, Leman Dawi berkata dia masih mendapat untung walaupun tidak besar tetapi kepuasan menyediakan makanan, perkhidmatan dan pengalaman manis kepada pelanggan lebih bernilai daripada wang ringgit.

Katanya, tapak gerainya kini dimiliki oleh sebuah syarikat swasta dan dia dibenarkan meneruskan perniagaan berikutan kedudukannya ketika ini tidak menjejaskan pembangunan projek mereka, selain dia sendiri tidak menimbulkan sebarang masalah.

Ditanya ke mana dia akan berpindah jika diminta mengosongkan gerai itu, Leman Dawi berkata dia belum mempunyai sebarang perancangan, namun yakin Allah akan mempermudahkan urusannya.

INFO

  • Gerai cendol Leman Dawi dibuka dari 11 pagi hingga 5 petang atau ditutup lebih awal jika stok habis.
Berita Harian X