Isnin, 10 Ogos 2015 | 9:40pm

Lebih banyak kuasa pentadbiran untuk Sabah, Sarawak - PM


NAJIB melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2015 di Padang Merdeka di Kuching, malam ini. - Foto Mohd Radzi Bujang

KUCHING: Lebih banyak kuasa pentadbiran membabitkan jabatan dan agensi persekutuan bakal diserahkan kepada kerajaan negeri di Sabah dan Sarawak dalam usaha merangsang pembangunan di kedua-dua negeri terbabit.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkan perkara itu, berkata inisiatif berkenaan juga mampu meningkatkan sistem penyampaian dan kualiti perkhidmatan kepada rakyat, sekali gus menangani masalah pertindihan kuasa yang sering berlaku sebelum ini hingga menyebabkan berlaku kelewatan projek pembangunan dilaksanakan.

"Saya sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Dr Ali Hamsa) untuk meneliti perkara ini, termasuk mengadakan perbincangan lanjut dengan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Sabah, begitu juga Sarawak.

"Berlaku banyak pertindihan kuasa ketika imi di peringkat Persekutuan dan negeri, namun saya yakin kita boleh mengatasinya dengan pemberian lebih banyak 'empowerment' kepada Sabah dan Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2015 di Padang Merdeka, di sini malam tadi.


NAJIB ketika hadir pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2015 di Padang Merdeka di sini, malam ini. - Foto BERNAMA

Yang hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak.

Pada majlis yang sama, turut dilangsungkan acara menaikkan Jalur Gemilang disusuli nyanyian lagu Negaraku dan pelepasan Konvoi Kembara Jalur Gemilang.

Najib ketika mengulas lanjut, berkata bentuk kuasa itu sedang diteliti dan bakal diumumkan tidak lama lagi selepas proses perbincangan mengenainya selesai.

"Ia bukan suatu yang sukar dilakukan kerana kita berada dalam satu pasukan di peringkat Persekutuan dan kedua-dua negeri. Mana kuasa yang boleh kita serahkan (kepada Sabah dan Sarawak), kita akan beri kerana ia diyakini mampu membawa banyak kesan positif," katanya.

Justeru, katanya, tiada sebab mengapa Sabah dan Sarawak perlu keluar dari Malaysia seperti yang dimahukan segelintir pihak kerana Kerajaan Persekutuan sentiasa memberi perhatian serius terhadap keperluan kedua-dua negeri terbabit, begitu juga rakyatnya.

"Bila Sarawak dan Sabah membuat keputusan merdeka melalui Malaysia, ia adalah keputusan keramat yang seharusnya dipertahankan. Apa juga yang berlaku, kita tetap membantu dan mempertahankan Sabah dan Sarawak.

"Atas semangat itu jugalah, saya meminta sambutan Hari Kebangsaan diraikan tanpa sebutan tahun kemerdekaan bagi mewujudkan semangat penyatuan dan kekitaan di kalangan rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak," katanya.


NAJIB diiringi Adenan (dua dari kiri) menyanyikan lagu Jalur Gemilang pada majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2015 di Padang Merdeka di sini, malam ini. - Foto Mohd Radzi Bujang

Sementara itu, Adenan berkata, tidak akan sesekali Sarawak keluar dari Malaysia, malah menganggap sesiapa sahaja yang berpendirian demikian sebagai dangkal.

"Itu adalah cakap-cakap bodoh kalau mahu bawa Sarawak keluar dari Malaysia. Kemajuan dan kemakmuran dikecapi hari ini adalah nikmat terbesar penyertaan Sarawak dalam Malaysia.

"Cuma, kita mahukan lebih autonomi, ... lebih kuasa pentadbiran kepada kerajaan negeri agar, ..kita tidak mahu keluar (Malaysia) tetapi mahukan autonomi, ...dapat kita menggandakan kemajuan negeri ini," katanya.

Lebih 10,000 jemputan dan orang ramai menyaksikan majlis pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibarkan Jalur Gemilang 2015 yang buat julung kalinya dianjurkan di bandar raya ini.

Najib dan isteri kemudian menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) sebelum berlepas ke Bandar Seri Begawan untuk menghadiri Rundingan Tahunan Malaysia - Brunei Darussalam Ke-19.

Berita Harian X