KLUANG: UMNO Johor akan melancarkan pelan masa depan untuk tempoh 10 tahun yang menggariskan 11 agenda besar meliputi pelbagai ikhtiar untuk melebarkan serta memodenkan parti itu.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya juga akan menubuhkan Sekolah Politik dan Kepemimpinan UMNO untuk menyediakan pemimpin terbaik bangsa.
"Semua ini kami lakukan kerana UMNO harus berkelangsungan. Jika tidak UMNO, siapa lagi yang melakukannya untuk orang Melayu.
"Di Johor, pergerakan ke arah pengislahan UMNO sudah bermula dan akan semakin rancak dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sembrong di Sekolah Menengah Sains Sembrong, dekat sini sebentar tadi.
Hadir sama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Ketua UMNO Bahagian Sembrong.